PERLINDUNGAN insurans atau takaful kemalangan diri serendah RM5 atau RM36 setahun, termasuk cukai jualan kini boleh dinikmati orang ramai, terutama golongan B40 di Malaysia.
Tawaran boleh dinikmati menerusi Pakej Rahmah Insurans dan Pakej Rahmah Takaful yang ditawarkan syarikat insurans dan takaful Etiqa General Insurance Bhd dan Etiqa General Takaful Bhd.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelan insurans kemalangan diri RAHMAH itu adalah termasuk pampasan kepada pemegang polisi yang mengalami kecacatan kekal akibat kemalangan atau penyakit, atau kematian akibat kemalangan dengan perlindungan bernilai hingga RM80,000.
Pelan ini layak dimohon seluruh rakyat Malaysia berusia 16 hingga 65 tahun, dan boleh diperbaharui hingga usia 70 tahun,” katanya.
Salahuddin berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan melancarkan pakej perlindungan diri RAHMAH di Putrajaya, semalam.
PAKEJ RAHMAH ALLIANZ
Tambahnya, Allianz General Insurance Malaysia Bhd juga menawarkan pakej RAHMAH seperti Insurans PerlindunganKu Allianz4All yang menawarkan perlindungan kemalangan peribadi hingga RM50,000 dengan premium tahunan pada kadar RM53 dan RM79.50, termasuk cukai jualan jika pemegang polisi dimasukkan ke hospital Kerajaan akibat sakit atau kemalangan.
Dengan pakej itu, pemegang polisi juga dapat menikmati dua manfaat tambahan, iaitu pembayaran balik perbelanjaan perubatan dan bayaran bantuan kecemasan hingga RM750 jika berlaku pemindahan banjir, bergantung pelan dipilih tanpa kos tambahan.
Allianz General turut memperkenalkan perlindungan MotorcyclePlus yang menawarkan perlindungan tambahan seperti kemalangan diri hingga RM10,000 untuk penunggang dan pembonceng motosikal, serta pendapatan hospital, yang dilaksanakan menerusi polisi insuran kenderaan motosikal berdasarkan kapasiti enjin didaftar.
Turut diperkenalkan polisi Allianz MotorcyclePlus Komprehensif untuk motosikal bawah 250cc yang menawarkan perlindungan Peril Khas dan Bantuan Jalanan hingga 50km dan Faedah Bantuan Banjir RM1,000 tanpa kos, selain perlindungan sedia ada yang dinikmati pelanggan Allianz MotorcyclePlus.
Salahuddin berkata lagi, pakej insurans dan takaful itu, mensasarkan individu yang terlibat dalam ekonomi gig dan menunggang motosikal seiring Program Payung RAHMAH supaya turut meliputi segmen perlindungan diri dan harta benda seperti kenderaan bermotor.
Beliau berkata, pelan ditawarkan melalui dua inisiatif berkenaan dapat membantu lebih ramai rakyat, terutama golongan B40 memiliki perlindungan insurans atau takaful pada masa depan untuk perlindungan diri pada harga murah.
Pelan ditawarkan dan dilancarkan itu boleh diakses dan dilanggan menerusi laman wab www.allianz.com.my dan www.etiqa.com.my.
BACA >>> Inilah Sebab Kenapa Insurans Anda Tiada Perlindungan Kereta Tenggelam Banjir
BACA >>> Kakitangan Awam Boleh Bayar Insurans Kenderaan dan Cukai Jalan Secara Ansuran
SUMBER: Bernama
Leave a Reply