SELAMA lebih empat dekad, Toyota Supra mempunyai reputasi tinggi dalam kalangan peminat kereta sport. Bermula generasi pertama Celica Supra (1979) hingga generasi kelima sekarang, peminat disajikan pelbagai perubahan dari segi kuasa, pengendalian, teknologi dan gaya.
Bagi menghargai sejarah tersebut, Toyota GR Supra 45th Anniversary Edition (2024) diperkenalkan. Sebagai sanjungan kepada model era 90-an, model edisi khas itu ditawarkan dalam warna Mikan Blast (mikan bermaksud jingga dalam bahasa Jepun) dan Absolute Zero.
Daripada 900 unit ditawarkan untuk pengguna Amerika Syarikat (AS), Toyota membahagikan jumlah sama banyak antara warna Mikan Blast dan Absolute Zero.
Toyota GR Supra 45th Anniversary Edition (2024) dibina berasaskan Toyota GR Supra 3.0 Premium Grade yang dipasang spoiler belakang boleh laras manual, 3 inci atas dek belakang. Pemilik diberikan skru pada spoiler untuk melaras sudut sayap dan tahap daya mendap (downforce).
Rim aluminium 19 inci diwarnakan hitam kusam dan kaliper brek juga hitam dengan logo GR. Grafik sisi kereta menonjolkan kontur badan dan tertera logo Supra. Model istimewa tersebut juga mengingatkan kepada Toyota Supra MkIV yang banyak digunakan dalam filem lumba jalanan dan aksi.
Toyota GR Supra 45th Anniversary Edition (2024) dijana enjin 6-silinder sebaris 3.0L Turbo B58 berkuasa 382hp dan tork 499Nm. Bahagian enjin dipasang braket strut 45th Anniversary Edition Mikan Blast yang memaparkan logo Toyota GAZOO Racing.
Pelanggan yang mahukan aksi anjakan klac kaki boleh mendapatkan versi manual dan pada masa sama Toyota turut menawarkan transmisi automatik.
Sejak kembali ke pasaran pada 2019, Toyota melancarkan beberapa edisi khas seperti Launch, A91, A91 Carbon Fiber dan A91MT. Model 3.0L juga sudah menjalani beberapa naik taraf dengan kuasa kuda dan tork lebih tinggi serta pakej dinamik pengendalian.
Toyota turut memperkenalkan Supra 2.0L dan paling popular adalah penawaran opsyen transmisi manual untuk model 3.0L. Selain model jalanan, Toyota GAZOO Racing turut mengeluarkan edisi lumba Toyota GR Supra GT4 (foto atas kiri) sejak 2020.
BACA >>> Toyota Tacoma TRD Pro (2024) Tampil Bergaya, Lasak dengan Suspensi FOX
BACA >>> Toyota Aygo X Air Edition (2023) dalam Warna Brass Gold, Bukan Axia dan Bukan untuk Asia!
BACA >>> Model Lumba Toyota GR Supra GT4 Evo (2023) Siap Sedia Tambah Trofi, Harga RM875k!
Leave a Reply