PEMINAT dan pemilik motosikal BMW di Malaysia pasti bergembira dengan kemenangan pertama jenama itu di litar lumba tahun ini. Lebih manis, rekod tersebut dimulakan pelumba tempatan pada hujung minggu lalu. Muhammad Farid Badrul Hisam (83) memenangi perlumbaan kedua kelas Superbike di Kejuaraan Superbike Malaysia (MSC SBK), manakala Nasarudin Mat Yusop (52) pula di tempat pertama dan kedua kelas Superstock (MSC STK).
Dalam kelas Superbike (MSC SBK), Farid daripada pasukan Times Bike Racing Team menunggang BMW HP4 dan kemenangan perlumbaan kedua itu pastinya sesuatu yang manis selepas gagal menamatkan perlumbaan pertama. Seorang lagi penunggang BMW, Linggam Rammoo daripada SportRider Racing Team menamatkan perlumbaan pertama di tempat ketujuh dan kesembilan pada perlumbaan kedua.
Dalam kelas Superstock (MSC STK), Nasaruddin daripada pasukan BMW Motorrad Malaysia meneruskan kecemerlangan musim lalu dengan menjuarai perlumbaan pertama, dan menjadi naib juara perlumbaan kedua menerusi jenteranya, BMW S 1000 RR.
Kejuaraan Superbike Malaysia (MSC) 2017 membabitkan lima pusingan, di mana pusingan pertama bermula 17 hingga 19 Mac lalu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Pusingan kedua MSC bakal dijadualkan berlangsung 28 hingga 30 April nanti, juga di SIC.
Leave a Reply