PELAKSANAAN standard piawaian ketat Euro5 disifatkan sebagai satu hukuman 'bunuh' ke atas banyak model motosikal legenda khususnya dari Jepun.
Regulasi itu memberi tamparan hebat terhadap segmen supersport di Eropah, sehingga menyaksikan model popular seperti Honda CBR600RR, Suzuki GSX-R600, Yamaha YZF-R6 dan Kawasaki Ninja ZX-6R ditamatkan jualan.
Kini, model Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) kembali ke Eropah dengan beberapa pembaharuan selain berjaya mematuhi piawaian Euro5. Sebelum bercerita lanjut, ini poin ringkasan tentang model Ninja ZX-6R (2024).
KELEBIHAN
- Satu-satunya pilihan motosikal supersport baharu jenama Jepun dengan 4-silinder sebaris dan sah ditunggang di jalan raya awam di Eropah.
- Naik taraf teknologi menjadikan model 2024 lebih diminati pembeli daripada opsyen ZX-6R terpakai.
- Menerima gayaan baharu yang lebih menarik.
KEKURANGAN
- ZX-6R (2024) banyak berkongsi komponen dengan model lama.
- Output kuasa enjin piawaian Euro5 lebih rendah berbanding model generasi terdahulu.
- Masih kekurangan IMU yang diperlukan untuk teknologi bantuan tunggangan termaju.
PERINCIAN KAWASAKI NINJA ZX-6R (2024)
HARGA
- Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) ditawarkan pada harga jualan asas £10,599 (RM60,653) dan akan berada di rangkaian pengedar di Eropah pada Oktober ini.
- Sebagai perbandingan, ZX-6R pernah dijual pada harga £9,699 (RM55,519) pada tahun 2019. Ada sebilangan pengedar menjual model terpakai ZX-6R dengan jarak perbatuan rendah pada harga £10,000 (RM57,233).
- Untuk model trek, Yamaha R6 Race berharga £12,900 (RM73,832) manakala R6 GYTR dijual pada harga £17,800 (RM101,876).
ENJIN & PRESTASI
- Disebabkan perlu akur dengan syarat emisi baharu, output kuasa ZX-6R menjadi lebih rendah iaitu 122hp. Bagaimanapun, Kawasaki mendakwa kuasa boleh naik sehingga 127.7hp dengan bantuan ram-air.
- Model ZX-6R sebelum ini menawarkan kuasa 128hp tanpa bantuan ram-air. Data kuasa itu pun sebenarnya berkurangan sedikit berbanding 129.3hp yang ditawarkan versi ZX-6R tahun 2013 hingga 2018.
- Penurunan kuasa pada model 2024 menyaksikan output puncak dicapai pada 13,000rpm. ZX-6R edisi 2023 mencapai kuasa puncak pada 13,500rpm.
- ZX-6R (2024) menerima pembaharuan pada sistem ekzos (exhaust header, collector dan silencer) serta rombakan profil aci sesondol dan bahagian injap untuk menambah baik emisi serta meningkatkan julat kuasa pertengahan.
- Ada pilihan mode kuasa Sport, Road, Rain dan Rider (boleh ubah tetapan), sistem QuickShifter standard dan tiga tahap kawalan cengkaman (Kawasaki Traction Control - KTRC).
- Bagaimanapun, model baharu itu tiada IMU yang menyebabkan ZX-6R gagal dilengkapi teknologi Kawalan Cengkaman Belok.
- ZX-6R (2024) menerima instrumen meter digital TFT 4.3 inci berwarna dan ciri sambungan telefon pintar menerusi aplikasi Kawasaki RIDEOLOGY
SUSPENSI & BERAT
- Sama seperti generasi terdahulu, ZX-6R (2024) hadir dengan fork 41mm Showa SFF-BP dan sistem monoshock (belakang) Uni-Trak. Kedua-dua suspensi itu boleh laras sepenuhnya untuk redaman, mampatan dan prabeban.
- Rim aloi 17 inci dipinjam daripada varian lama dengan saiz tayar sama iaitu 120/70 (depan) dan 180/55 (belakang). Untuk model 2024, Kawasaki menggunakan tayar baharu iaitu Pirelli Diablo Rosso IV.
- Model Kawasaki Ninja ZX-6R ABS terdahulu seberat 194kg tetapi model 2024 dengan brek ABS pula lebih berat iaitu 198kg.
LEBIH SELESA
- Kawasaki Ninja ZX-6R (2024) didatangkan dengan set fairing hadapan dengan set lampu LED penuh baharu dan lampu signal LED.
- Bahagian hadapan dan visor angin menerima sedikit perubahan rekaan untuk mengurangkan kesan pukulan angin.
- Ergonomik tunggangan tidak berubah kerana model 2024 masih menggunakan pelana, tangki minyak, casis dan suspensi model lama.
SISTEM BREK
- ZX-6R masih menggunakan kaliper 4-piston Nissin seperti model terdahulu menandakan tiad perubahan terhadap prestasi pembrekan.
- Brek cakera jenis konvensional atau bulat dipilih untuk menggantikan cakera berbentuk kelopak (petal), berukuran 310mm iaitu saiz sama seperti superbike ZX-10R.
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) adalah ciri standard untuk pasaran Eropah tetapi di Amerika Syarikat, pelanggan ada ditawarkan dengan varian tanpa ABS (2kg lebih ringan dan lebih murah).
Leave a Reply