VOLKSWAGEN Commercial Vehicles mengumumkan spesifikasi dan harga trak pikap Volkswagen Amarok (2023) baharu untuk pasaran Britain.
Trak pikap premium itu ditawarkan dalam empat varian: Life, Style, PanAmericana dan Aventura yang semua menggunakan sistem pacuan empat roda (4WD) 4MOTION.
Walaupun berkongsi banyak komponen dengan Ford Ranger T6 (foto atas) baharu, Volkswagen mengolah semula Amarok seperti model baharu sepenuhnya dengan luaran dan dalaman berbeza.
Bahagian depan Amarok tampil seperti model Volkswagen lain yang dipasang palang melintang pada gril atas. Bahagian belakang menggunakan lampu corak C dan teks Amarok besar. Seperkara menarik dan berlawanan, lampu depan Ford Ranger menampilkan suluhan cahaya bentuk C.
Jarak roda panjang mewujudkan lebih ruang untuk penumpang, manakala juntaian pendek memberi kelebihan atas laluan off-road. Volkswagen meletakkan Amarok (2023) dalam segmen premium yang dilengkapi 30 ciri teknologi bantuan pemandu.
Dari segi susunan, Volkswagen Amarok Life ialah varian aras mula dengan rim aloi Combra 17 inci, lampu depan LED, skrin infotainmen 10 inci dan sistem kamera pandang belakang.
Varian ini dijana enjin 2.0 TDI berkuasa 168hp dengan transmisi manual 6-kelajuan atau pilihan 203hp dengan transmisi automatik 10-kelajuan.
Volkswagen Amarok Style pula dilengkapi rim aloi Amadora 18 inci, palang krom, pemijak sisi hitam dan juga kemasan krom. Turut dilengkapi unit infotainmen 12 inci dengan fungsi navigasi dan tambahan kamera Area View 360°.
Varian ini pula digerakkan enjin 2.0 TDI berkuasa 203hp, atau 3.0 TDI berkuasa 238hp. Kedua-dua varian Style menggunakan transmisi automatik 10-kelajuan.
Volkswagen Amarok PanAmericana dibuat untuk off-road dengan ciri seperti kunci diferensial belakang (RDL) dan pelindung bawah. Varian ini dipasangkan rim aloi Amadora hitam saiz 18 inci dan bampar premium dengan corak X hitam.
Hanya satu enjin ditawarkan, iaitu 3.0 TDI berkuasa 238hp dan dipadankan transmisi automatik 10-kelajuan.
Akhir sekali, varian paling premium, Volkswagen Amarok Aventura paling menonjol dengan rim perak Varberg 21 inci, cermin sisi dan hendal pintu krom dan bampar premium dengan corak X perak. Enjin dan transmisi sama seperti varian PanAmericana.
Harga varian Aventura juga paling tinggi, iaitu £57,591 (RM327,120) manakala varian aras mula Life (168hp) berharga £40,791 (RM231,700).
BACA >>> Volkswagen ID.Buzz Dipilih Kereta Terbaik COTY 2023!
BACA >>> Volkswagen Perkenal Unit Pacuan RWD APP550 untuk Model EV, Tork Setinggi 550Nm!
Leave a Reply