SEKALI-sekala pengeluar kereta akan menghasilkan model yang menggetarkan jiwa, tetapi dalam seunit sahaja atau sebagai konsep.
Tanpa perlu menunggu pengeluar ternama, Proton sendiri pernah mempamerkan Satria Cabriolet nun jauh di Pameran Motor Frankfurt, Jerman pada 1997.
Walaupun Satria Cabriolet (foto atas) tidak dikeluarkan secara rasmi, Proton turut menawarkan projek 'gila' lain seperti Saga Limousine, Wira Limousine, Waja Chancellor dan Waja Limousine. Selain itu, ketiga-tiga generasi Perdana turut ada versi limosin.
Ini pula projek one-off dari Jerman, iaitu BMW Concept Touring Coupé (2023) yang mengingatkan kita kepada BMW Z3 M Coupe yang juga dipanggil 'clown shoe'.
Pada 2012, BMW pernah menampilkan model konsep Zagato Coupé (foto atas) yang dibina daripada Z4. Bezanya, Z3 M Coupe dijual kepada umum.
BMW Concept Touring Coupé (2023) dibina berasaskan Z4 yang diolah semula sebagai model shooting brake.
Walaupun dikaitkan beberapa contoh, BMW secara rasmi memaklumkan perkadaran model itu mengingatkan kepada BMW 328 Touring Coupé (foto atas) yang pernah memenangi perlumbaan enduran Mille Miglia pada 1940.
Fungsi konsep shooting brake adalah perakuan kepada siri BMW 02 Touring awal 70-an bagi membezakan ia dengan model sedan. Lebih jelas, logo atau tulisan dalam kabin dan belakang BMW Concept Touring Coupé dibuat seperti model ikonik tersebut.
Selain rekabentuk elegan dan menarik, model konsep berkenaan membawakan Hofmeister kink yang menonjol pada cermin sisi dan identiti tradisi BMW. Bahagian luaran menggunakan warna Sparkling Lario yang dibuat khas untuk model tersebut dengan aksen perak dan gangsa.
Gril ginjal BMW dibuat khas dengan palang vertikal, manakala rim aloi menggunakan saiz 20 inci di depan, dan 21 inci (belakang). Mengenai enjin, tidak diperincikan kecuali maklumat tentang enjin jenis 6-silinder sebaris.
Ruang kabin BMW Concept Touring Coupé (2023) juga tidak kurang hebat, mendapat sentuhan syarikat pereka perabot dari Itali, Poltrona Frau. Syarikat itu menggabungkan warna coklat gelap dan coklat lembut yang menyerlahkan suasana kemewahan.
BMW juga menggunakan khidmat syarikat kulit Schedoni dari Itali bagi menghasilkan set bagasi yang sepadan kereta.
BACA >>> BMW Panoramic Vision - Teknologi HUD Dipapar Sepanjang Cermin Depan
BACA >>> #PanduUji: BMW 330i M Sport (2023) untuk yang Mahukan Fiil Memandu Sebenar!
BACA >>> BMW M Tukar Logo, Guna Lencana Klasik Sempena Aniversari ke-50
Leave a Reply