BERIKUTAN semakin ramai penunggang motosikal besar sering dilihat menunggang dalam halaju tinggi dan melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal melaksanakan operasi khas ke atas motosikal kuasa tinggi seluruh negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pihaknya mengambil maklum isu tersebut dan JPST akan mengadakan Op Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara dengan menumpukan penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Umum mengetahui motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan jalan raya iaitu lebih 55 peratus berbanding kenderaan lain," katanya dipetik Sinar Harian.
Menurutnya, JSPT akan sentiasa memberi penekanan terhadap penunggang motosikal terutama melibatkan motosikal kuasa tinggi dengan mengadakan Op Khas tersebut.
Beliau berkata, mereka yang terlibat kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya boleh dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.
JSPT turut menasihatkan semua pemilik motosikal kuasa tinggi supaya sentiasa berhemah di jalan raya, mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan.
Tindakan lain juga boleh diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya.
JSPT juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi pelaksanaan Op Khas berkenaan.
BACA >>> JAS Periksa Motosikal Disita Polis, Keluar 20 Saman Ekzos Bising
BACA >>> Polis Buru Mat Rempit Superbike Buat Wheelie di LATAR
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply