BUKAN lagi di litar lumba, Pirelli bakal memperkenalkan tayar pintar yang mampu memberikan maklum balas mengenai pelbagai karakteristik tayar kereta anda seperti tanda-tanda bunga haus, tekanan udara semasa dan beberapa aspek lain yang ada kaitan dengan prestasi komponen tersebut.
Dibangunkan bersama sistem dipanggil Connesso, tayar baharu Pirelli itu akan berada di pasaran bermula Jun ini yang membabitkan siri tayar Pirelli P Zero dan Pirelli Winter Sottozero.
APAKAH TAYAR PINTAR?
Setiap tayar memiliki cip kecil tertanam dalam dinding tepi tayar yang hanya seberat beberapa gram tanpa mengganggu keseimbangan tayar. Cip berkenaan akan disambungkan kepada perisian cloud Pirelli dan aplikasi dalam telefon pintar pemandu. Kemudian, sistem Connesso akan bertindak mengenal pasti setiap kod tayar dan mengesan bilakah tarikh tayar itu dikeluarkan hingga dikitar semula pada penghujung kitaran hayat produk itu.
Cip tersebut juga mampu mengukur tekanan angin, suhu, beban vertikal, kehausan, dan jumlah kilometer pemanduan setiap tayar. Menurut Pirelli, versi masa depan tayar ini berupaya menganggarkan baki hayat tayar dan berfungsi sebagai tolok tekanan tayar kawalan jauh apabila tayar pancit.
INTERAKSI MENERUSI TELEFON PINTAR
Versi tayar sedia ada kini juga mampu memberikan amaran awal kepada pemandu menerusi aplikasi telefon pintar sekiranya sensor tayar mengesan terdapat penurunan tekanan angin melampau pada satu ataupun lebih tayar, ataupun jika tayar mencapai had haus tertentu yang perlu ditukar. Malah, sistem Connesso akan memberikan maklumat tentang lokasi bengkel-bengkel tayar Pirelli terdekat dan pemandu boleh terus saja membuat janji temu dan menempah tayar baharu.
Bukan itu sahaja, versi sistem Connesso masa depan bakal mempunyai memori untuk mengingatkan pemandu tentang acara sukan permotoran di kawasan terdekat, termasuk menyediakan ruang untuk pemandu menulis reviu tentang pengedar tayar dan membaca ulasan pemandu lain.
DIJUAL SECARA AFTERMARKET
Versi pertama Connesso akan menumpukan kepada jualan pasaran luar atau aftermarket. Pirelli setakat ini belum merancang untuk berkolaborasi dengan mana-mana pengeluar untuk menjadikan tayar pintar itu sebagai komponen standard. Jadi pelanggan boleh mendapatkan tayar ini sebagai ganti kepada tayar kereta sedia ada, tetapi bagi model mewah sahaja. Sebagai permulaan, ia ditawarkan bagi rim bersaiz 19-inci atau lebih besar.
Pirelli tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan pengeluar untuk memasang tayar baharu tersebut sebagai komponen standard dengan menggabungkan sistem Connesso dengan komputer kereta.
TAYAR BERWARNA
Sebagai tambahan, Pirelli memperkenalkan tayar berwarna yang ditawarkan dalam empat warna asas, iaitu merah, kuning, perak dan putih. Seperti gambar di atas, tayar berwarna bukanlah bermaksud keseluruhan tayar diwarnakan. Sebaliknya cuma teks dan strip pada dinding sisi tayar.
Penampilan gaya baharu itu diilhamkan daripada jentera Formula Satu (F1) yang mula mewarnakan tayar masing-masing sejak 2011. Pirelli membangunkan material khas yang mampu mengekalkan warna pada tayar tanpa pudar disebabkan masa dan penggunaan, serta pada masa sama mampu beraksi baik.
BUKAN YANG PERTAMA
Pirelli bukan satu-satunya pengeluar tayar yang mengeluarkan produk tayar berwarna. Warna asal tayar kereta sendiri ialah putih sebelum dihitamkan, manakala BFGoodrich ialah pengeluar tayar pertama meletakkan warna pada tayar, tetapi bukan pada dinding sisi, sebaliknya bunga tayar.
Bagaimanapun, pengeluaran tayar itu dihentikan selepas banyak kumpulan samseng di California menggunakan idea tayar berwarna itu untuk menanda kawasan jajahan mereka.
Tayar baharu Pirelli ini pula disasarkan kepada kereta-kereta premium, di mana kedua-dua model tayar - P Zero dan Winter Sottozero - ditawarkan dalam edisi berwarna. Kini, anda bukan saja dapat membeli tayar berwarna, tetapi juga boleh memilih produk sama yang dimuatkan ciri tayar pintar.
Sama seperti tayar Connesso, tayar edisi warna hanya ditawarkan bagi rim 19-inci atau lebih besar. Setakat ini, kereta yang menjadi model dipasangkan tayar tersebut ialah Lamborghini, McLaren, dan Pagani. Menurut Pirelli, tayar sama juga boleh digunakan untuk model-model mewah lain seperti Aston Martin, Bentley, Ferrari, dan Porsche serta beberapa model premium lain menjelang pelancaran produk itu kelak.
Harga masih belum didedahkan bagi tayar berwarna atau Connesso, tetapi memandangkan kedua-dua tayar itu dibikin khas untuk kereta-kereta premium, faham-faham sajalah. 🙂
SUMBER: Fox News
joehaz says
perghhh mengancam betul tayar yg ada warna merah tu. tak payah susah2 nak warnakan sendiri.