SEMPENA sambutan Aidilfitri tahun ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Kementerian Pengangkutan melancarkan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula 18 April hingga 27 April ini.
Justeru JPJ melalui akaun Facebook menaikkan status peringatan tentang tujuh senarai kesalahan utama yang tidak boleh dikompaun dalam operasi jalan raya khas itu, iaitu:
- Menggunakan telefon bimbit ketika memandu
- Gagal patuh lampu isyarat
- Memandu di lorong kecemasan
- Memandu melebihi had laju
- Memotong di garis kembar
- Memotong barisan
- Tidak memakai tali pinggang keledar
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula melancarkan Op Lancar pada Selasa dan Rabu ini bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya menjelang persiapan menyambut Aidilfitri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, fokus Op Lancar adalah di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.
Menurutnya, seluruh jentera PDRM di lapangan akan diatur gerak membabitkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit dan risikan, selain mendapatkan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi melancarkan aliran trafik .
Selain Op Lancar, PDRM juga melaksanakan Op Selamat ke-20 bermula 20-27 April bertemakan 'Rumah Selamat, Sampai ke Destinasi' bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri tahun ini.
Acryl Sani berkata, fokus utama operasi adalah memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah pada musim perayaan.
Dalam Op Selamat ini, PDRM akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai, selain mengurangkan beban kesesakan," katanya.
Pemantauan udara daripada unit dron Pasukan Gerakan Udara turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi titik panas dikenal pasti, seterusnya menyalurkan maklumat kepada elemen di lapangan untuk tindakan.
Juster pengguna jalan raya diminta supaya peka dengan maklumat aliran trafik terkini melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak konsesi lebuh raya, selain menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.
Acryl Sani berkata lagi, keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama menyalurkan sebarang maklumat sama ada melalui rakaman video atau foto mengenai tingkah laku pengguna yang melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya sangat dipuji dan dihargai polis.
PDRM menasihatkan pengguna jalan raya supaya bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus dalam pemanduan sepanjang masa agar Hari Raya Aidilfitri dapat disambut dalam suasana kekeluargaan dan kesejahteraan," katanya.
BACA >>> JPJ Buat Op Bersepadu Sempena Musim Perayaan, 18-27 April Ini
BACA >>> JPJ Bakal Dapat Seragam Baharu dengan Ciri Keselamatan Khas
SUMBER: Bernama
Leave a Reply