SETIAP pasukan Formula Satu (F1) bagi saingan musim 2017 sudah pun selesai mengumumkan jentera dan nama pelumba masing-masing. Apa yang menarik tentang kempen musim ini adalah setiap peserta bakal berlumba dengan jentera baharu yang dibikin khas untuk mematuhi peraturan baharu diperkenalkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Pelbagai gimik dilakukan sempenan debut jentera baharu yang rata-ratanya menampilkan perubahan sayap depan dan bilah berserta muncung dengan lohong bagi membolehkan udara mengalir masuk menembusi badan kereta. Antara ciri baharu lain ialah pengenalan 'sirip jerung' (shark fin) di belakang penutup enjin dan penggunaan tayar yang lebih lebar. Pemerhati mendakwa jentera F1 musim ini mampu membelok lebih pantas di selekoh.
Mari kita saksikan senarai pasukan yang bakal beraksi dalam saingan F1 musim ini bersama jentera masing-masing:
1. Williams FW40
Williams mencuri perhatian umum apabila menayangkan imej FW40 lebih awal daripada dirancang. FW40 bakal dipandu pelumba muda, Lance Stroll dan veteran F1, Felipe Massa yang tidak jadi bersara berikutan dipanggil Williams utnuk menggantikan Valtteri Bottas yang berhijrah ke Mercedes.
2. Sauber C36
Sempena meraikan ulangtahun ke-25 bagi Sauber dalam F1, logo khas dengan tulisan emas dilekatkan di sisi belakang jentera. Pasukan ini menamatkan kedudukan di tempat ke-10 dalam kategori Kejuaraan Pembina pada tahun lalu. Bagi musim 2017, Sauber mengekalkan Marcus Ericsson dan membawa masuk Pascal Wehrlein.
3. Renault R.S.17
Dengan pengambilalihan pasukan Lotus pada minit akhir, Renault memulakan musim 2017 dengan melancarkan warna sementara pada casis tahun lalu. Menariknya, warna dua tona itu mendapat pujian ramai, manakala Renault mengharapkan tuah warna baharu itu mampu membantu pasukan mereka bersaing dalam siri F1 musim ini dengan menyasarkan tempat ke-5 keseluruhan. Nico Hulkenberg daripada Force India dibawa masuk menggantikan Kevin Magnussen, manakala Jolyon Palmer kekal buat musim kedua.
4. Force India VJM10
Pada 2016, Force India ialah pakej yang mengejutkan apabila bersaing hebat dengan pasukan Williams untuk merebut tempat keempat dalam kategori Kejuaraan Pembina Dunia sebelum berjaya mengetepikan lawannya itu. Semestinya tahun ini mereka mengharapkan keputusan yang lebih baik dengan menyasarkan kedudukan ketiga dan ke atas. Saingan musim ini digalas pelumba Mexico, Sergio Perez dan Perancis, Esteban Ocon.
5. Mercedes W08 EQ Power+
Berdasarkan potensi juara musim lalu, persoalan terbesar sepanjang saingan musim ini adalah apakah pasukan lain mampu mengejar Mercedes? Tampil dengan enjin paling berkuasa, Mercedes memperkenalkan pakej jentera dengan mengekalkan pasukan aero yang asal. Melainkan Red Bull mampu melakukan keajaiban, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas sebenarnya sedang saling bersaing sesama sendiri dalam pasukan yang sama.
6. Ferrari SF70H
Tidak banyak perkata yang diperkatakan tentang Ferrari musim ini. Walaupun menamatkan kedudukan di tempat ketiga, Ferrari agak bergelut dengan prestasi yang tidak menenti sepanjang musim lalu. Malah, kehilangan jurutera bereputasi tinggi, James Allison ke Mercedes, membuatkan Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen perlu bekerja lebih keras.
7. McLaren-Honda MCL32
Pelancaran McLaren-Honda antara paling meriah musim ini yang bukan saja memperkenalkan desain warna jingga baharu yang serba garang, tetapi turut meraikan permulaan era baru pasukan itu selepas pemergian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ron Dennis. Tugas atas trek masih digalas Fernando Alonso yang kali ini akan berpasangan dengan rakan pasukan baru, Stoffel Vandoorne. Musim ini juga merupakan kontrak terakhir Alonso dengan McLaren-Honda. Jika beliau berjaya membuktikan sesuatu, tidak mustahil kontraknya dilanjutkan.
8. Haas F1 VF-17
Musim lalu, Haas cuma dapat menamatkan saingan di kedudukan ke-8 dengan Romain Grosjean menjadi satu-satunya pelumba yang mengutip mata bagi pasukan itu. Sebaliknya rakan sepasukan, Esteban Gutierrez langsung tidak mendapat sebarang mata. Bagaimanapun, musim ini, tempat Gutierrez diambil alih oleh Kevin Magnussen. Mampukah pasukan Haas melakukan sesuatu?
9. Red Bull Racing RB13
Red Bull dijangka menjadi pencabar utama kepada Mercedes musim ini apabila jauh mengatasi Ferrari di tempat kedua musim lalu. Dengan mempertaruhkan kepakaran Adrian Newey dalam hal kejuruteraan bagi peraturan baharu 2017, Red Bull juga masih yakin meletakkan Daniel Ricciardo dan Max Verstappen sebagai pengemudi utama jentera mereka. Jika kena dengan enjin yang dibangunkan, tidak mustahil kombinasi pasangan ini mampu melakukan sesuatu dalam saingan kedudukan Kejuaraan Pelumba Dunia.
10. Scuderia Toro Rosso STR12
Sama seperti Renault, Toro Rosso juga menyasarkan kedudukan kelima musim ini. STR12 dikatakan antara jentera yang menampilkan rekabentuk paling menonjol. Khidmat Carlos Sainz masih diharapkan buat musim ketiga berturut-turut, manakala Daniil Kyvat kembali ke pangkuan pasukan yang pernah disertainya pada 2014 lalu selepas tidak lagi diperlukan Red Bull. Mampukah pelumba Rusia itu membuktikan sesuatu?
SUMBER: Auto Express
joehaz says
kenapa la sirip panjang sgt sampai ke belakang..sebab aerodinamik kan, tp jadi rupa lain dah haa