WALAUPUN baru meneroka industri motosikal tempatan, Ni Hsin Tech menunjukkan keyakinan penuh terhadap kemampuan dua model skuter elektrik penuh dikeluarkan, Ebixon Talig Bold dan Torq.
Beberapa minggu lalu, Ni Hsin Tech menganjur sesi tunggang uji Bold dan Torq di tengah ibu kota untuk media tempatan memahami karakter dua skuter elektrik itu atas jalan raya sebenar.
BACA >>> Ni Hsin EV Tech Lancar Dua Skuter Elektrik untuk Pasaran Malaysia, Harga Mula RM9k!
BACA >>> Ni Hsin EV Tech Mahu Bawa Masuk Superbike Elektrik ke Malaysia Menjelang 2025
Tidak ramai pengeluar atau pengedar skuter elektrik penuh sanggup mengambil risiko, dan lebih memilih litar untuk mengadakan sesi tunggang uji. Ini kerana ujian di trek tertutup tidak memberikan fiil tunggangan sebenar seperti di jalan raya.
Asasnya, Tailg Ebixon Bold ditawarkan untuk segmen persendirian (orang awam), manakala Tailg Ebixon Torq lebih kepada tujuan komersial
Saya menguji Bold untuk sesi kali ini kerana tempoh sesi tunggang uji agak terbatas, selain mahu memahami lebih mendalam kemampuan sebenar skuter EV tersebut di jalanan.
Rekabentuk Tailg Ebixon Bold jelas mengambarkan sebuah skuter yang berasal dari China. Rasanya, lebih baik saya tidak mengulas lanjut mengenai aspek kosmetik. Biar saja pembeli yang buat keputusan.
Sesi tunggang uji bermula kira-kira jam 2 petang dari Jalan Imbi ke Bukit Antarabangsa di Ampang, sebelum patah balik ke tempat awal konvoi. Antara jalan dilalui ialah Jalan Tun Razak, Lebuhraya Bertingkat Ampang–KL (AKLEH), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan laluan mendaki ke Bukit Antarabangsa sebelum kembali semula ke Jalan Imbi.
BACA >>> #TahukahAnda: 5 Tip Memilih Helmet yang Betul?
Perjalanan kami dipermudahkan dengan bantuan pasukan Polis Trafik yang mengawal lalu lintas di persimpangan lampu isyarat dan susur keluar-masuk di kawasan trafik tinggi.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Hos Brek - Kenali Material, Kesan Rosak dan Cara Servis
OPERASI TALIG EBIXON BOLD
Sebelum bercerita mengenai pengalaman menunggang, lebih wajar saya menjelaskan sedikit sebanyak mengenai operasi Bold.
Sebaik saja memasukkan kunci ke dalam slot dan panel meter LCD memaparkan maklumat, roda belakang Bold masih tidak akan bergerak ke depan walaupun terotal dipulas.
Ini kerana skuter berada dalam mod parkir. Jadi, cara mennyah aktif mod tersebut adalah menarik tuil brek dan lepaskan. Selepas itu, indikator Ready berwarna hijau akan menyala sebelah kanan skrin panel meter yang menandakan skuter ini siap sedia bergerak.
Bold menggunakan dua pek bateri yang disimpan bawah pelana. Setiap satu pek membolehkan skuter ini ditunggang sejauh 60km (dua bateri bersamaan jarak maksimum 120km).
Bawah pelana juga ada dua suis pemutus arus (circuit breaker), iaitu satu suis untuk setiap pek bateri. Maksudnya, skuter ini hanya bergerak menggunakan satu pek bateri pada satu-satu masa.
Jika pek bateri pertama sudah lemah atau tidak kuasa penggerak, anda perlu berhenti, buka pelana, dan ketik suis pemutus arus pek bateri kedua. Ya, semua ini perlu dibuat secara manual. 😭
Proses manual seperti ini memang leceh, membuang masa dan tidak praktikal. Kenapa tidak pasang saja suis pada hendal? Atau jadikan saja proses alihan kuasa bateri secara automatik? Beritahu pihak Ni Hsin Tech, memang boleh dibuat, tetapi akan melibatkan tambahan kos, dan harga jualan.
Sebagai makluman, harga jualan skuter Bold ini bermula RM9,000!
Jadi, ketika menunggang Bold, saya perlu beri perhatian kepada dua indikator skrin panel meter, iaitu voltan bateri dan bahan api.
Jika voltan bateri berada pada atau bawah paras 62 peratus, saya perlu berhenti dan tukar suis pemutus arus. Jika indikator bahan api menyala pula, maksudnya bateri sudah habis.
APA RASA TUNGGANG TAILG EBIXON BOLD?
Secara jujur, memang sedikit menakutkan ketika kali pertama menunggang skuter elektrik ini kerana belum betul-betul faham cara operasi, terutama respons terotel.
Selepas faham cara menyah aktif mod Parkir, saya perlu kenal pula respons terotal Bold. Semua ini memerlukan masa kerana ia sangat penting untuk keselamatan.
RESPONS TEROTEL
Saya perlu memerah terotel Bold secara berhati-hati kerana skuter ini cukup kuat ‘melompat'. ‘Lompatan’ itu pula berlaku dalam situasi tidak dijangka, terutama kalau ralit di simpang jalan hingga terlupa mengawal tahap terotel. Pengalamannya seperti motosikal semput yang kehabisan petrol.
Jika terotel ditutup penuh, skuter akan meluncur (ketika menunggang) seperti dalam gear neutral. Jadi cara untuk memperlahankan kelajuan adalah jangan tutup habis terotel anda.
Cuma kurangkan sikit bukaan terotel hingga rasa ada sedikit tolakan roda belakang sambil gunakan brek belakang. Apapun, cara ini masih bergantung situasi dan persekitaran tunggangan tertentu, bukan semua keadaan.
BUTANG GEAR
Konsol kawalan sebelah kanan hendal ada suis dengan tiga pilihan gear, iaitu I, II dan III. Bold menggunakan motor elektrik pada hab roda belakang. Faktanya, skuter EV ini tiada gear.
Gear I bermaksud had kelajuan maksimum 50kmj, Gear II pula maksimum 55kmj, dan Gear III menawarkan kelajuan hingga 60kmj. Penukaran gear juga boleh dibuat ketika menunggang.
HALAJU MAKSIMUM
Seperti dijelaskan, Bold memiliki halaju maksimum 60kmj. Soalannya, adakah kelajuan ini selamat untuk tunggangan dalam bandar? Cukup bertenaga untuk memotong lori atau bas?
Ada beberapa rakan media berpendapat isu itu membimbangkan kerana kelajuan tunggangan sepatutnya lebih tinggi atau laju, hingga sekurang-kurangnya 90kmj.
Secara peribadi, saya pun bersetuju dengan kadar 60kmj tidak sesuai untuk tunggangan dalam bandar sesak atau besar seperti di Kuala Lumpur atau lebuh raya.
PELANA BESAR, EMPUK
Pelana Bold memang besar, lebar dan empuk. Pengeluar mungkin mahu menawarkan keselesaan kepada penunggang, tetapi lain pula saya rasa.
Busa atau span digunakan untuk pelana Bold ini tidak rata hingga menolak badan saya sedikit ke depan. Kurang selesa buat saya, tetapi mungkin ada kaitan dengan perbezaan ketinggian seseorang individu.
PEMASANGAN KEMAS
Ketika menunggang di atas jalan raya biasa yang berturap, sukar untuk merasai prestasi sistem suspensi kerana kelajuan maksimum cuma 60kmj. Ketika meredah lubang dan lopak jalan, boleh tahan juga bergegar badan skuter ini.
Namun, fork depan masih stabil, cuma unit absober belakang agak lembut. Walaupun sengaja melanggar beberapa lubang dan lopak jalan, belum ada panel badan atau komponen tercabut.
PEG KAKI PEMBONCENG
Pembonceng Bold mungkin tidak seselesa penunggang dengan set peg kaki disediakan kerana tidak cukup lebar. Mungkin boleh diperlebar untuk menambah baik keselesaan pembonceng.
BATERI BOLD
Pek bateri pula dikatakan memiliki jangka hayat 2,000 kitaran. Jika perlu ditukar ganti, harganya RM1,200-RM1,800 (harga semasa). Bagaimanapun, harga itu dijangka turun apabila industri motosikal dan skuter elektrik berkembang kelak.
Pek bateri skuter ini boleh ditanggalkan untuk dicas dalam rumah atau pejabat dengan menggunakan soket biasa (3-pin). Berat sepek bateri 11kg, manakala masa mengecas adalah kira-kira lima jam (mengikut baki kapasiti bateri).
BOLD UNTUK SIAPA?
Bold lebih sesuai kepada individu yang mencari motosikal bergaya, dan gemar menunggang santai dalam jarak dekat seperti ulang-alik ke pejabat (yang dekat), ke surau dan kedai (yang tidak jauh dari rumah), atau mengambil anak dari sekolah.
Secara peribadi, skuter elektrik ini bagus untuk mereka yang menetap di kawasan luar bandar yang berdepan kesesakan trafik teruk.
Kenapa? Ada beberapa cabaran utama penunggang skuter Bold jika membelinya untuk tunggangan bandar. Antaranya, halaju terbatas 60kmj yang menyukarkan kerja-kerja memotong kenderaan lain yang lebih laju.
Jarak perjalanan terbatas juga mampu melemahkan keyakinan pembeli yang mahu berjinak dengan motosikal elektrik.
Lagi? Cabaran mengawal terotel ketika trafik sesak dan menyelit deretan kenderaan juga membimbangkan. Akhir sekali, skuter ini tiada ekzos yang boleh menyebabkan pengguna jalan raya lain tidak sedar kehadiran anda. Rasanya macam kurang sesuai menunggang di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
BACA >>> Bukan Mudah Kalau Nak Cas Bateri Skuter Elektrik di Rumah
BACA >>> Honda Dedah Strategi Lancar 10 Model Motosikal, Skuter Elektrik Menjelang 2025
BACA >>> Kawasaki Mahu Perkenal 10 Motosikal Hibrid, Elektrik Menjelang 2025
Leave a Reply