KIA sekali lagi memenangi Anugerah iF Design atas rekabentuk cemerlang dihasilkan pengeluar dari Korea itu yang bukan satu, tetapi tiga model sekali gus! Tiga model terpilih tersebut ialah Kia Niro hibrid, Optima Sportswagon dan Rio baharu.
Sebenarnya, anugerah sedemikian sudah jadi kebiasaan bagi Kia. Apa tidaknya, tahun ini sudah masuk kali kelapan pengeluar itu menerima Anugerah iF Design dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12 model. Sebagai makluman jika anda baru tahu, Anugerah iF Design Award adalah antara pengiktirafan tersohor dalam industri rekabentuk.
Presiden dan Ketua Pereka Kia Motors Corporation, Peter Schreyer berkata, Anugerah iF Design adalah satu pengiktirafan buat pasukan rekabentuk global Kia.
Ketiga-tiga model yang diusahakan bersama tiga studio di Korea, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) adalah sangat penting untuk jenama kami. Melalui Niro dan Optima Sportswagon, Kia memasuki segmen pasaran baharu dan menawarkan produk inovatif dengan rekaan menarik. Rio baharu pula adalah antara produk paling laris di peringkat global. Kini, penampilan model itu sudah berubah dengan karakter lebih matang."
- Peter Schreyer, Ketua Pegawai Pereka Kia
BUKAN DESAIN KONSERVATIF
Kia Niro ialah model crossover dengan nadi kuasa hibrid. Direka tanpa mengikut gaya konservatif hibrid membuatkan ia tampil unik. Menurut Kia, Niro ialah model pertama seumpamanya dalam segmen crossover hibrid.
Kia Optima Sportswagon pula ialah model pertama tourer (wagon) segmen-D yang direka khusus untuk pasaran Eropah. Rekabentuk tampil menyerlah dengan gabungan interior berkualiti tinggi selain menawarkan praktikaliti menerusi gaya badan tourer.
Kia Rio serba baharu pula bakal dipasarkan di peringkat global tidak lama lagi. Rekabentuk kali ini tampil lebih matang dan moden serta dilengkapi teknologi keselamatan terkini. Bonet Rio baharu direka lebih panjang, manakala pilar C lebih menegak, sekali gus menyerlahkan profil badan yang lebih agresif dan serius.
Anugerah iF Design bermula sejak 1953. Bagi penilaian 2017, jumlah penyertaan adalah sebanyak 5,575 produk dari 59 negara, di mana setiap produk akan diadili 58 juri bebas yang pakar dalam bidang masing-masing. Semua model baharu Kia itu menerima pengiktirafan bagi kategori Rekabentuk Produk dan majlis penganugerahan akan dianjurkan di BMW Welt dekat Munich, Jerman pada 10 Mac ini.
Leave a Reply