DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kerja pembangunan blok 44 tingkat Menara SOHO (326 unit) dengan satu Basemen di Lot PT 163, Jalan Raja Laut berhampiran Stesen LRT Bandaraya dihentikan serta-merta.
Arahan itu dihantar kepada Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam'iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan, pemilik projek tersebut bagi menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca gangguan LRT yang berlaku, baru-baru ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Ampang yang berlaku 27 Januari lalu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan wakil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan DBKL seperti Jabatan Perancangan Infrastuktur, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Bandaraya, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan dan Jabatan Perancangan Korporat, 28 Januari lalu,
Arahan ini dibuat sebagai langkah keselamatan bagi memastikan APAD dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian dan mengenal pasti punca gangguan baru-baru ini," jelas Mahadi.
Ketika ini, projek itu masih di peringkat awal yang melibatkan kerja-kerja tanah luar kawasan perlindungan zon 1 dan zon 2 (protection zone).
Tambah Mahadi, DBKL akan terus melibatkan APAD dan Prasarana bagi mendapatkan pandangan, terutama apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran zon keselamatan kereta api.
Terdahulu, perkhidmatan LRT Laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan bengkok berhampiran Stesen Bandaraya.
Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan pemerhatian awal mendapati kerosakan itu dipercayai berpunca daripada kerja pembinaan sebelah kawasan LRT terjejas.
BACA >>> Rel Bengkok, Tiang Utama Retak Punca Tren Laluan LRT Ampang-Sri Petaling Lewat
BACA >>> APAD Minta Datuk Bandar Henti Pembangunan Dekat Stesen LRT Bandaraya Serta-Merta
SUMBER: Bernama
Leave a Reply