SELEPAS Williams melancarkan debut Martini-Liveried sebagai jentera Formula Satu (F1) bagi musim ini - 2017, pasukan Renault juga tidak mahu ketinggalan apabila turut melakukan perkara sama dengan memperkenalkan Renault R.S.17.
Renault R.S.17 tampil dengan rekabentuk aerodinamik serba agresif dan tayar lebar sebagai mematuhi peraturan baharu F1 musim ini. Menurut Renault, perubahan tersebut membolehkan masa pusingan dibuat 5 peratus lebih pantas berbanding sebelum ini.
ENJIN PATUHI PERATURAN BARU F1
Enjin R.S.17, dengan nama RE17, dipertingkat daripada versi terdahulu. Malah, Renault khabarnya menjemput juara dunia empat kali, Alain Prost sebagai penasihat khas dalam usaha menjadikan pasukan itu lebih kompetitif.
Tahun lalu, Renault hanya mampu mengakhiri musim 2016 di tempat ke-9 di kalangan juara pembina. Bagi musim 2017, Renault Sport merekrut bekas juara 24 Hours of Le Mans 2015, Nico Hulkenburg sebagai pelumba utama di samping Jolyon Palmer, manakala Sirotkin Sergey siap sedia menjadi pemandu simpanan.
Dengan enjin dan pemandu baharu yang juga bekas juara siri perlumbaan antara paling berprestij dunia, mampukah Renault melakukan sesuatu yang menggemparkan bagi musim ini? Apapun, pastinya kelibat Renault R.S.17 menjadi antara jentera paling dinanti-nanti untuk disaksikan.
SUMBER: Road and Track
Leave a Reply