LEXUS Malaysia melancarkan dua model terbaharunya , Lexus RC-350 dan RC-F yang masing-masing dijual pada harga RM526,000 dan RM782,000 (atas jalan tidak termasuk insurans).
Hadir sebagai kenderaan coupe berprestasi tinggi Lexus, pengenalan barisan RC serba baharu ini menampilkan rekabentuk yang sarat dengan sentuhan halus dan beremosi.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata, pihaknya berbangga dapat menawarkan kereta coupe terbaik yang ada dalam pasaran global buat rakyat Malaysia.
" RC-350 bukanlah sebuah model biasa bagi Lexus. Rekabentuk RC-350 berjaya menyuntik sentuhan emosi ke dalam DNA Lexus yang sudah sinonim dengan kualiti buatan, perincian dan ketahanan.
“ Dengan menampilkan kelengkapan dan kehalusan buatan, ia mengekalkan identiti khas Lexus melalui rekaan gril, di samping mengetengahkan ciri aerodinamik dan profil keseluruhan yang lebih kemas.
" Manakala RC-F pula menganjak jenama ini ke satu tahap baru dengan imej maskulin dan tegap, termasuk komponen gentian karbon yang digunakan,” katanya.
Menerusi pengenalan model coupe berprestasi tinggi itu, ia mampu melonjakkan profil Lexus ke tahap lebih tinggi.
LUARAN
Lexus RC-350 dan RC-F berjaya mencuri tumpuan dunia dengan kehadiran penampilan yang penuh identiti unik, terutama rekaan gril hadapan yang luas dan menonjol.
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, kedua-dua model itu memiliki sosok badan menarik dan mantap. RC-350 dan RC-F dilengkapi lampu utama multi-LED dengan lampu siang LED (Daytime Running Lamps).
Rekaan lampu utama tampak tajam dan jelas, sekaligus mencerminkan kompleksiti penggayaan yang menjadi taruhan utama Lexus. Bagi tampak lebih garang, RC-350 hadir bersama rim aloi bersaiz 18 inci dan 19 inci bagi varian RC-F.
DALAMAN
Disifatkan sebagai coupe 2+2 sebenar, RC-350 menawarkan keselesaan optimum bagi pemandu dan penumpang hadapan, dengan ruang yang secukupnya untuk penumpang belakang.
Ruang dalaman RC-350 menonjolkan keseimbangan antara sentuhan sport dan kemewahan. Tempat duduk kulit yang ada digarap menggunakan kaedah 'foaming' bersepadu seperti MANA ditawarkan pada model IS F-Sport 2013. Konsol tengah pula menerapkan rekaan unik Lexus yang mencerminkan kemewahan ruang kabin.
Ruang dalaman RC-F pula agak berlainan berbanding RC-350. Ia menerapkan ciri dan sentuhan sporty dan elegan yang menyerlahkan lagi imejnya sebagai jentera sport.
Aspek hiburan pula, RC-350 menampilkan sistem audia Mark Levinson Premium Surround dengan 14 pembesar suara beserta slot DVD. Manakala RC-F disematkan sistem audio Mark Levinson bersama 17 pembesar suara
PRESTASI
Menyentuh aspek prestasi, kedua-dua varian ini dipadankan dengan kotak gear transmisi automatik Sports Ptogram Direct Shift 8-kelajuan.
Bagi varian RC-350, ia dijana unit enjin DOHC V6 bersesaran 3.5L yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 312hp pada 6,400rpm dan tork puncak 378Nm (4,800rpm). Dari keadaan statik hingga 100kmj, ia hanya mengambil masa 6.3 saat dengan kelajuan maksimum 230kmj.
Manakala Lexus RC-F pula hadir dengan enjin yang lebih berkuasa dan mengagumkan. Hasil padanan enjin V8 bersesaran 5.0L, ia menghasilkan kuasa mencecah 470hp pada 7,100rpm dan tork 530Nm (4,800 hingga 5,600rpm). Dengan kelajuan maksimum 270kmj, ia hanya memerlukan 4.5 saat untuk mencapai 100kmj.
Penggunaan 'jantung' V8 pada RC-F merupakan enjin paling berkuasa pernah dibangunkan oleh Lexus. Ia merekodkan 12 peratus lebih kuasa berbanding enjin IS-F.
Maklumat lanjut berkaitan Lexus dan promosi, anda boleh kunjungi pusat pameran berdekatan. Sehingga kini, Lexus Malaysia sudah memiliki tujuh pusat pameran iaitu di Mutiara Damansara, Pulau Pinang, Johor Bahru, Sungai Besi, Kuala Lumpur dan Kuching, dan Ipoh. Lexus Malaysia turut mengumumkan pembukaan pusat pamerannya yang kelapan di Melaka pada bulan hadapan.
Leave a Reply