DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengehadkan kebenaran cadangan pembinaan lebuh raya baharu bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di ibu kota.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, cadangan itu adalah antara sasaran yang terkandung dalam Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur (PITKL) 2040 untuk melaksanakan pengurusan lalu lintas di ibu kota pada waktu puncak.
Menurutnya, pembinaan lebuh raya baharu melalui jalan dalam bandar adalah 'pass through traffic' yang menyebabkan kesesakan berikutan kemasukan kenderaan persendirian ke pusat bandar.
Tapi ada (jaringan) lebuh raya di Kuala Lumpur masih lagi terputus. Jadi pembinaan menghubungkan lebuh raya ke lebuh raya sedia ada boleh dipertimbang.
"Antara cadangan lebuh raya dikenal pasti ialah Lebuhraya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL-NODE), Lebuhraya Duta Ulu Klang 2A (DUKE 2A) dan Lebuhraya Pantai Baru Fasa 2 (NPE 2), " katanya pada pelancaran PITKL 2040 di Kuala Lumpur hari ini.
Mahadi berkata, PITKL 2040 menumpukan kepada pembangunan model trafik pada 2020 sebagai tahun semasa dan akan datang hingga 2040 bagi mengunjurkan sasaran tahap perkhidmatan jalan (LOS) sedia ada kepada tahap C.
Beliau berkata, pelan tersebut antara lain mengenal pasti 50 jalan tidak bersambung dan sembilan jalan perlu dinaik taraf bagi meningkatkan kesinambungan jalan di ibu negara selain dapat menyurai aliran trafik lebih baik.
Katanya PITKL 2040 juga mensasarkan pencapaian nisbah peratusan pengguna pengangkutan awam daripada 25:75 (25 peratus pengangkutan awam dan 75 peratus kenderaan persendirian) kepada 50:50 pada 2025, 60:40 (2035) dan 70:30 (2040).
Bagi melaksanakan peralihan tersebut, fokus perancangan perlu ditekankan kepada meluaskan rangkaian pengangkutan rel, peningkatan perkhidmatan bas, dan peningkatan perkhidmatan kesinambungan, iaitu perkhidmatan bas bantuan awal (first mile) dan bantuan akhir (last mile) yang terdiri daripada pejalan kaki, basikal dan mikromobiliti.
"PITIKL 2040 juga mencadangkan kemudahan 'park and ride' di lokasi berdekatan dengan stesen pengangkutan awam," katanya.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply