KENDERAAN utiliti sukan (SUV) Lamborghini Urus lebih daripada layak untuk diberi perhatian atas kejayaan SUV super itu melonjakkan prestasi kewangan dan menambah pembeli baharu jenama itu sejak diperkenalkan pada 2017.
Selepas beberapa tahun menabur jasa, Lamborghini memperkenalkan Urus Performante dengan kuasa lebih tinggi dan ringan.
BACA >>> Keputusan Tepat Hasilkan SUV, Urus Bantu Lamborghini Catat Jualan Lebih Baik!
BACA >>> #Spyshot: Lotus Uji SUV Elektrik Setanding Urus, DBX707 di China
Sebelum diperkenalkan, Urus Performante menunjukkan kehebatan dengan mencatat rekod baharu di Pikes Peak bagi kategori SUV. Masa dicatatkan 10:32.064 yang lebih pantas daripada rekod dipegang Bentley Bentayga pada 2018 (10:49.902).
APA BAHARU DENGAN URUS PERFORMANTE?
Sekali pandang, nampak seperti Urus biasa kerana rekabentuk SUV super itu sudah sedia agresif. Namun perubahan paling mudah dilihat ialah:
- Bonet dan bampar depan dengan garisan horizontal menggantikan corak Y.
- Walaupun tampil ringkas, tetapi berfungsi sebagai laluan udara yang meningkatkan penyejukan enjin.
- Juga baharu ialah tirai udara (air curtain) yang membantu mengalirkan udara melepasi roda depan, sekali gus mengurangkan seretan.
- Spoiler belakang juga ringkas, tetapi berkesan meningkatkan daya mendap (downforce) belakang hingga 38 peratus.
- Rekabentuk spoiler dengan sirip gentian karbon mengambil ilham Aventador SVJ.
- Secara keseluruhan daya mendap SUV super ini meningkat 8 peratus.
- Banyak menggunakan komponen gentian karbon untuk bonet, ventilator udara, bampar depan dan belakang, spliter, gerbang roda dan difuser belakang.
- Pembeli juga ditawarkan bumbung gentian karbon seperti Huracán Performante dan Super Trofeo.
- Profil badan lebih rendah dengan bahagian depan menonjol, sayap belakang dan bampar menjadikan panjang keseluruhan bertambah 25mm.
- Mengekalkan enjin 4.0L turbo kembar V8 dengan transmisi automatik 8-kelajuan dalam pacuan semua roda (AWD).
- Walaupun enjin sama, tetapi lebih berkuasa dengan tambahan 16hp kepada 666hp @ 6,000rpm, dan tork kekal 850Nm @ 2,300rpm-4,500rpm.
- Agihan tork dioptimum daripada penggunaan diferensial baharu dengan nisbah dipertingkat daripada 3.16 kepada 3.4 ketika pacuan dan daripada 3.02 kepada 3.33 dalam keadaan luncur (coasting).
- Berat badan dikurangkan hingga 47kg.
- Pecutan 0-100kmj sepantas 3.3 saat, atau 0.3 saat lebih pantas daripada Urus biasa, manakala kelajuan maksimum 306kmj.
- Daya membrek daripada 100km ke pegun kini lebih pendek, iaitu 32.9 meter daripada 33.7 meter pada Urus biasa.
- Emisi karbon dilepaskan menerusi ekzos titanium Akrapovič.
- Komponen spring baharu merendahkan casis sebanyak 20mm, manakala trek roda dipanjangkan kepada 16mm.
- Bahagian roda menggunakan rim 23 inci, atau 22 inci dengan bolt titanium, dan dibalut tayar Pirelli P Zero dengan saiz 285/40 di depan dan 325/35 di belakang.
- Buat kali pertama, Lamborghini membangunkan tayar khas, jenis semi slik Pirelli bagi memenuhi karakter sebuah SUV.
- Pemetaan semula dilakuan untuk belokan roda depan (front wheel steering), termasuk meningkatkan sentuhan antara permukaan jalan dengan input tepat, dan respons langsung.
- Belokan roda belakang (rear-wheel steering) mendapat intervensi lebih pantas.
- Aspek ketangkasan dipertingkat ketika membelok masuk selekoh, temasuk fungsi pemvektoran tork (torque vectoring) diferensial belakang dalam mod jalanan atau off-road.
- Lamborghini turut menala semula mod pemanduan lebih sempurna untuk setiap kondisi.
- Dalam mod STRADA, SUV ini dapat dipandu lebih selesa dengan redaman lancar, manakala dalam mod SPORT, pemandu menikmati respon terotel dipertingkat dengan belokan roda belakang lebih lincah pada halaju rendah, dan stabil pada halaju tinggi.
- Pemandu juga menikmati ciri belokan lebih (oversteer) dan anjakan gear lebih pantas. Talaan casis lebih sporty dengan spring lebih tegar dan redaman untuk pemanduan lebih menyeronokkan.
- Dalam mod CORSA pula, elemen pengendalian bertukar jadi lebih hebat, dan stabil pada halaju tinggi, manakala prestasi di selekoh dengan palang antioleng aktif dan redaman dimaksimumkan.
- Bunyi ekzos pula mengingatkan yang model ini dibina dari warisan prestasi Lamborghini.
- Satu ciri utama Urus Performante ialah pilihan mod RALLY untuk keseronokan memandu di permukaan off-road.
- Karakter oversteer dihangatkan dengan sistem antioleng dan redaman dioptimum pada spring atas permukaan kasar dan ekstrem yang menunjukkan keupayaan lasak SUV super ini.
Jelas sekali Lamborghini membangunkan Urus Performante bukan untuk diletakkan di parkir valet sahaja. Ruang kabin dihiasi, Alcantara hitam Nero Cosmus sebagai balutan standard selain sulaman heksagon baharu dan kemasan Performante.
Mengenai harga, Urus Performante ditawarkan pada £170,260 (RM905,490) dan penghantaran pertama bermula penghujung tahun ini.
BACA >>> #RetroAuto: Lamborghini Espada 400 GT Pernah Jadi Kereta 4-Kerusi Terpantas Dunia!
BACA >>> Lamborghini Jalpa (1982) - Model Ikonik yang Penuh Sejarah Selain Countach
Leave a Reply