INI khabar dari negara seberang. Motosikal sport fairing Yamaha YZF-R15 V3 paling baharu sedang hangat diperkatakan dan berita mengenai jentera dua roda itu semakin panas apabila netizen di sana mula terserempak dengan kelibat model tersebut yang sedang ditunggang uji.
Yamaha YZF-R15 V3 (2017) dikatakan sedang giat diuji di Indonesia. Bezanya, model tunggang uji kali ini tidak lagi ditutup atau disorok identiti, sebaliknya setiap sudut jentera dengan padanan warna badan serba hitam didedahkan.
Khabarnya, Yamaha juga akan menawarkan YZF-R15 V3 baharu dalam warna biru perlumbaan bersama kombinasi kelabu, merah dan putih. Selain perubahan kosmetik, YZF-R15 V3 juga lebih berkuasa, pantas, diperhalusi dan memiliki peralatan baru berbanding model sebelumnya.
REKAAN MIRIP R1?
Menurut laporan media Indonesia, Yamaha YZF-R15 V3 akan dikuasakan enjin 155cc, dan ada juga mengatakan jentera tersebut bakal menggunakan enjin Nmax 155cc berteknologi Penggerak Injap Variabel (Variable Valve Actuation) yang mampu menjana kuasa 18-20hp dan tork meningkat 17-18Nm.
Merujuk laporan blog Iwan Banaran, YZF-R15 V3 bakal menampilkan rekaan yang tidak jauh berbeza berbanding supersport R1. Melalui tarikan garis fairing yang tajam dan lampu depan tirus.
YZF-R15 V3 juga bakal menggunakan spidometer baru berserta komponen baru lain, termasuk fork terbalik dan lengan ayun aluminium dengan monoshock di belakang. Bilakah ketibaan model itu di pasaran Indonesia masih lagi menjadi tanda tanya. Menurut laporan, PT Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM) masih belum mahu membuka mulut tentang model tersebut.
Leave a Reply