TOYOTA kini siap sedia mempertaruhkan Camry serba baharu pada tahun ini, sekali gus memberi gambaran mengenai kemunculan sedan segmen-D popular itu di pasaran Malaysia selewat-lewatnya tahun hadapan (2018).
Mungkin ada yang masih bertanya, apakah Toyota Camry 2018 masih relevan di negara ini? Jawapannya, kenapa tidak? Di Amerika Syarikat (AS) sendiri sedan saiz pertengahan itu mencatatkan jualan kereta paling laris di negara tersebut sejak 15 tahun lalu, termasuk juga di Australia.
Bagi penampilan generasi ke-8 ini, Toyota Camry 2018 tampil dengan evolusi penuh sebuah sedan selamat dan boleh diharap tanpa mengabaikan faktor gaya dan prestasi mengujakan. Dibina berasaskan Arkitektur Global Baharu Toyota (TNGA) yang dipanggil platform GA-K, Toyota Camry 2018 mengetengahkan enjin dan transmisi serba baharu.
Timbalan Presiden Kanan Toyota AS Bahagian Operasi Automotif, Bob Carter berkata, Toyota Camry 2018 tanpa ragu lagi ialah sedan saiz pertengahan paling menawan hati yang pernah dihasilkan.
Camry 2018 memberikan segala yang pemilik Camry harapkan. Rekabentuk mengagumkan, banyak teknologi termaju, sistem keselamatan hebat dan prestasi memberangsangkan yang meletakkan ia pada tahap keterujaan tiada tandingan," katanya.
CAMRY TERBAIK PERNAH DIHASILKAN
Ketua Jurutera Camry, Masato Katsumata pula berkata, dalam usaha mewujudkan sesuatu yang mampu merangsangkan jiwa seseorang, Toyota mengetengah konsep sedan baharu yang memberikan keseronokan dan keterujaan di sebalik pemanduan.
Dalam membangunkan Toyota Camry generasi baharu, kami mampu bermula dengan rekod bersih yang membolehkan kami untuk mewujudkan kereta pemandu sebenar," katanya.
Direka menggunakan bahasa rekabentuk Keen Look (Rupa Keen), Toyota Camry 2018 baharu tampak lebih anggun berbanding model sedia ada dengan titik belakang rendah yang sepatutnya memberikan lebih kawalan pengendalian. Toyota Camry 2018 juga lebih pendek kira-kira 4sm berbanding model terdahulu.
Menurut Toyota, garis karakter yang ketara di sekitar dan sepanjang badan, serta fender depan dan belakang agresif nyata memberikan Toyota Camry 2018 yang diimaginasi semula itu ciri sporty yang tidak pernah dilihat pada model berkenaan.
MATERIAL BERKUALITI TINGGI
Ruang dalaman juga direkabentuk semula dengan meningkatkan kualiti material kabin menerusi penggunaan material premium dan sentuhan lembut daripada gred tinggi.
Kerusi depan dan belakang turut direka semula untuk memberikan faktor ergonomik yang dipertingkat, tetapi kita simpan dahulu kenyataan ini sehingga kami betul-betul dapat duduk di atasnya. Apapun, bayangan paling jelas mengenai ergonomik dipertingkat semestinya tentang saiz kerusi yang lebar dan elok.
Terdapat juga sistem komunikasi dan infotainment 8.0-inci baharu, termasuk paparan dongak (head-up display) 10-inci berwarna (mengikut model) dan paparan multi-informasi 7.0-inci antara tolok analog di sebalik roda stereng.
Ada tiga jenis enjin ditawarkan, iaitu 3.5L V, 2.5L empat silinder dan hibrid baharu. Dua enjin pembakaran dalaman akan dipasangkan dengan transmisi automatik 8-kelajuan baharu, manakala model hibrid mendapat bantuan Transmisi Variabel Berterusan (CVT) dengan poin anjakan 6-kelajuan simulasi. Toyota mendakwa transmisi hibrid ini akan memberikan Toyota Camry 2018 tahap kecekapan yang menyamai Toyota Prius.
CIRI KESELAMATAN DIPERMAJU
Sistem keselamatan pula membaris pelbagai ciri pasif dan aktif termaju seperti Sistem Pra Perlanggaran (PCS) dengan Pengesan Pejalan Kaki (PD), Kawalan Jelajah Radar Dinamik Julat Kelajuan Tinggi (DRCC), Amaran Tukar Lorong dengan Bantuan Stereng, dan Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB). Beberapa model tertentu akan didatangkan dengan Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA).
Tidak lupa ciri keselamatan asas seperti 10 beg udara, kawalan traksi (TC), kawalan stabiliti kenderaan (VSC), Agihan Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Teknologi Henti Pintar. Malah, semua model Toyota Camry 2018 dilengkapkan dengan kamera undur.
Toyota Camry 2018 dijangka menjengah pasaran AS pada musim panas negara itu (sekitar pertengahan tahun ini), manakala di Australia bakal menyusul serentak dengan pengeluaran di Jepun. Bagi pasaran Asean, Malaysia dan Thailand kemungkinan menjadi antara negara rantau ini yang melakukan debut Toyota Camry 2018.
GALERI
SUMBER: Practical Motoring
Leave a Reply