RNF Racing diterajui Datuk Razlan Razali akan menjadi pasukan satelit kepada Aprilia untuk dua tahun bermula musim MotoGP 2023.
Kontrak tersebut boleh diperbaharui untuk dua musim lagi selepas itu yang bermaksud Aprilia bakal mempunyai empat jentera RS-GP.
BACA >>> SRT kini Jadi RNF MotoGP Racing, Akan Bersaing dalam MotoGP Hingga 2026
BACA >>> Quartararo: "Bukan Masalah Aku Pelumba Yamaha Lain Bergelut"
RNF Racing yang suatu masa dulu pernah menggunakan jenama Petronas Yamaha Sepang Racing Team mengatakan akan meneruskan falsafah pasukan itu dalam membangunkan bakat baharu untuk direkrut naik ke pasukan pengilang. Pendekatan itu juga dikongsi Aprilia yang mahu melatih pelumba, jurutera, juruteknik dan pengurus pasukan.
Usaha Aprilia mula membuahkan hasil tahun ini apabila pelumbanya, Aleix Espargaro menghadiahkan kemenangan pertama dalam kelas MotoGP di Argentina. Kemudian, Espargaro berjaya meraih podium ketiga sebanyak tiga kali berturut-turut, sekali gus membuktikan RS-GP sebagai antara jentera kompetitif dalam saingan MotoGP.
Razlan berkata, rancangan bekerjasama itu dicadangkan Aprilia Racing, dan beliau berterima kasih kepada sokongan diberikan Yamaha selama ini.
Sememangnya ada desas-desus Yamaha tidak begitu gembira dengan prestasi RNF Racing sejak dua musim lalu selepas Fabio Quartararo direkrut masuk ke pasukan pengilang. Malah, Valentino Rossi juga tidak menunjukkan sebarang keputusan boleh dibanggakan sepanjang tahun lalu, manakala tahun ini, veteran MotoGP, Andrea Dovizioso dan rakan sepasukan, Darryn Binder hanya mampu berada di petak belakang.
Ada juga khabar angin mendakwa Yamaha mungkin tidak mahu memperbaharui kontrak RNF Racing tahun depan. Justeru, kerjasama dengan Aprilia ini boleh dianggap sebagai penyelamat RNF Racing. Setakat ini barisan pelumba masih belum diputuskan.
BACA >>> WithU Yamaha RNF Kecewa dengan Dovizioso, Akan Diganti Dixon?
BACA >>> Racing Boy (RCB) Taja Yamaha RNF MotoGP Team Tiga Musim, Mula Tahun Ini
SUMBER: MotoGP.com
Leave a Reply