SEORANG pengarah urusan berpangkat Datuk yang mendaratkan sebuah helikopter di Padang Ipoh untuk mengambil kiriman 36 bungkusan nasi ganja, Julai lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan melanggar kaedah penerbangan awam.
Bagaimanapun, Datuk Mohamed Raffe K Chekku, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
BACA >>> Naik Helikopter dari KL ke Ipoh untuk Ambil 36 Bungkus Nasi Ganja
BACA >>> Helikopter Rentas Negeri Ada Surat Kebenaran, Tapi Bukan untuk Ambil Nasi Ganja
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamed Raffe didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Udara seperti yang ditentukan Ketua Pengarah Penerbangan Awam dalam 'Civil Aviation Directive 2 - Rules of the Air' bawah Chapter 3 dengan tidak mematuhi 'Flight Plan' dikemukakan.
Mohamed Raffe didakwa membuat pendaratan pesawat jenis Bell 505 nombor pendaftaran 9M-RCI di Padang Ipoh, satu lokasi berbeza daripada Aerodrome yang dinyatakan dalam Flight Plan. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9.50 pagi hingga 10 pagi pada 23 Julai 2021.
Kesalahan itu dibaca di bawah Peraturan 77(2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 206 (3) (a) bawah peraturan sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Sharmila Jesudason, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu. Jesseca membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Leave a Reply