BAYANGKAN sedang memandu tiba-tiba berlaku kemalangan depan mata, apakah yang patut anda buat?
Mungkin jawapan kebanyakan orang, telefon saja 999. Tapi bagi prihatin, mereka akan keluar kereta merakamkan gambar atau video nahas kemalangan, dam dikongsikan ke media sosial.
Namun, tahukah anda, perbuatan itu tidak memadai untuk membantu mangsa kemalangan. Ini perkara yang perlu anda buat jika menjadi saksi kemalangan jalan raya.
1. Penunggang Motosikal Berhenti Terlebih Dahulu
Memandangkan motosikal bersaiz kecil, ia lagi mudah untuk penunggang berhenti dan turun melihat keadaan mangsa. Namun pastikan parkir motosikal dalam keadaan menegak dan nyalakan lampu kecemasan (hazard).
2. Pemandu Kereta Berhenti Ikut Situasi
Pemandu kereta tidak disarankan berhenti jika jalan sesak kerana akan membuatkan kesesakan bertambah teruk dan membuatkan pengguna lain marah. Namun kalau lengang dan anda saksi utama, berhentilah membantu, tetapi pastikan kenderaan diletak di bahu jalan dengan selamat dan pasang reflektor segi tiga.
3. Ingat dan Catat Maklumat Tentang Kemalangan
Jika anda ada kamera pemuka (dashcam), ia sangat membantu mangsa kemalangan. Namun jika tiada, cuba ingat detik kemalangan dan punca nahas tersebut terjadi. Ini sangat membantu polis membuat siasatan.
Perkara penting, ingat nombor plat kenderaan, karakter kenderaan terlibat, lokasi, masa dan punca kemalangan.
4. Periksa Jumlah dan Keadaan Mangsa Terlibat Kemalangan
Jika mudah gelabah, anda mungkin panik, cemas dan takut. Namun fikirkan jika anda di tempat mangsa, pasti anda mahu diri dibantu.
Jadi bantu tenangkan mangsa yang terselamat dan lihat kondisi kecederaan mereka.
5. Hubungi Talian Kecemasan 999
Segera hubungi 999 dan beritahu lokasi kemalangan kepada operator dengan terperinci. Jelaskan kondisi mangsa dan jumlah mangsa supaya operator dapat mengenal pasti kapasiti anggota penyelamat yang perlu dihantar.
6. Hulurkan Bantuan kepada Mangsa Setakat Termampu.
Bantu mangsa jika mereka dalam keadaan tersepit atau cedera ringan. Sebaiknya, tanya mangsa anggota mana yang sakit.
Jika nampak teruk dan mangsa tak boleh bergerak, jangan sentuh mangsa kerana bimbang boleh jadi bertambah teruk. Anda juga boleh tolong tanggalkan kasut, helmet atau pakaian yang membuatkan mangsa sukar bernafas.
Jika mangsa tidak sedarkan diri, tolong simpan barangan penting seperti dokumen pengenalan diri, telefon bimbit dan sebagainya untuk diserahkan kepada polis. supaya tiada orang mengambil kesempatan.
7. Buat Laporan Polis
Buat laporan polis dan ceritakan segala maklumat anda tahu. Ini boleh membantu mangsa mengetahui siapa bersalah dan bagaimana ia berlaku.
SUMBER: Helodoktor!
Leave a Reply