BERITA terkini yang baru kami perolehi, Perodua Axia sudah menerima 27,000 unit tempahan sejak ia dibuka pada 15 Ogos lalu. Daripada jumlah itu, lebih 3,600 unit Axia sudah diserahkan kepada pembeli dan selebihnya akan dikeluarkan secara berperingkat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh komited mempercepatkan penghantaran buat pelanggan dalam tempoh masa singkat.
Tambah Aminar, pihaknya yakin tempoh menunggu dapat disingkatkan selepas bekerjasama rapat dengan pihak vendor bagi memastikan proses pengeluaran dapat berjalan lancar.
" Kami terharu terhadap sambutan dan sokongan diberikan serta memohon maaf di atas kelewatan seperti mana yang dijanjikan sebelum ini," katanya lagi.
Perodua Axia hadir dalam empat varian: Standard E, Standard G, Special Edition (SE) dan Advance. Perbezaan utama antara kesemua model ini sudah semestinya melibatkan aspek rekabentuk luaran dan spesifikasi.
Daripada keempat-empat varian itu, Axia Standard mengungguli carta apabila mencatatkan 45 peratus tempahan dan diikuti dengan varian SE dan ADvance iaitu 35 peratus manakala selebihnya adalah Standard E.
Menyentuh kepada nama Axia, perkataan ‘Axia’ (disebut a-zee-a) dipilih dengan menggabungkan perkataan Asia, di mana ‘X’ sebagai angka roman bagi nombor 10 yang mewakili model ke-10 Perodua. Lebih bersejarah buat Perodua, Axia adalah kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama negara.
Hasil janaan enjin 1KR-DE2 3-silinder bersesaran 1.0L, Axia mampu menghamburkan kuasa 66hp pada 6,000rpm dan tork puncak 90Nm (3,600rpm). Hasil bantuan kotak gear automatik 4-kelajuan, ia mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 20.1km per liter manakala 21.6km per liter bagi transmisi manual 5-kelajuan.
Perodua Axia yang dijual bermula pada harga RM24,600 hingga RM44,470. Laporan lanjut berkaitan Perodua Axia, boleh baca di sini.
Sementara itu, Perodua turut melancarkan majlis pecah tanah pembinaan masjid dan taska yang dijangka siap sebelum akhir tahun 2015.
Hasil pelaburan bernilai RM20 juta itu, masjid Perodua mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah pada satu masa yang sama. Menerusi pembinaan masjid itu, ia dapat memudahkan lagi pekerja-pekerja Perodua dan jemaah yang terdekat. Manakala taska pula mampu memuatkan sehingga 300 orang pada masa sama.
Pada majlis yang sama, Perodua turut menyumbang sebanyak RM17,500 kepada lima masjid dipilih sempena Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut hujung minggu ini.
Leave a Reply