KELUARGA kepada pemandu treler yang meninggal dunia akibat serangan jantung baru-baru ini meluahkan rasa terkilan dan sedih atas fitnah dilemparkan terhadap arwah, Ahmad Sukri Abd Samad.
Menurut adik arwah Mohd Azmi Abd Samad, 37, fitnah itu membuatkan arwah tidak sempat diselamatkan kerana menurut apa dimaklumkan kakaknya, ada beberapa individu di lokasi kejadian sebenarnya mahu membantu arwah, tetapi tidak jadi berbuat demikian selepas dituduh mabuk.
Mohd Azmi berkata;
Jika fitnah itu tiada, mungkin abang boleh dihantar lebih awal ke hospital dan mungkin berjaya menyelamatkan nyawanya."
Menurutnya, ketika di hospital selepas dimaklumkan mengenai insiden kira-kira jam 12 tengah hari itu, kakaknya Rosilawati Abd Samad, 47, ada memberitahu mengenai video tersebut, tetapi perakam video enggan menunjukkan kepada mereka atas pelbagai alasan.
Namun, rakaman itu terdedah selepas video tersebut tular sejak pagi semalam.
Bagaimanapun, ada rakan sekerja arwah memaklumkan video berkenaan tular pagi semalam dan hanya ketika itu saya melihat isi kandungan video terbabit termasuk dakwaan individu yang mendakwa abang memandu dalam keadaan mabuk.
"Selepas video itu tular, saya ada membaca komen di media sosial mengenai insiden itu selepas punca kemalangan terbabit dijelaskan dan boleh dikatakan kebanyakannya (komen) mendoakan arwah abang, namun ada juga komen yang menyalahkan dia.
"Ada komen yang mengecam arwah dengan menyatakan jika sudah tahu sakit jantung sepatutnya dia berhenti di tepi jalan kerana tindakannya boleh meragut lima nyawa yang lagi penting daripada hanya nyawa dia seorang.
"Saya yakin jika abang boleh tahan sakit, pasti dia akan berbuat demikian tetapi siapa yang tahu derita kesakitan dilaluinya ketika itu," kata Mohd Azmi.
Susulan itu, dia sudah berbincang dengan ahli keluarga untuk membuat laporan polis terhadap penyebar video, termasuk individu yang memfitnah, dan komen kecaman di media sosial supaya dapat dijadikan pengajaran kepada semua.
Mohd Azmi turut mengakui kehilangan abangnya sangat dirasai keluarga dan arwah selama ini membantu menyara kakak dan empat anak dari segi kewangan selepas kematian abang iparnya pada 2017. Arwah yang masih bujang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, selepas Asar, semalam.
Leave a Reply