ADAKAH anda kenal simbol lampu periksa enjin yang berwarna kuning (atau jingga) seperti gambar di atas? Artikel kali ini akan menghuraikan secara ringkas mengenai simbol tersebut.
Apakah Lampu Periksa Enjin (Check Engine Light)?
- Bertujuan memberi amaran kepada pemandu apabila mengesan sebarang isu berkaitan sistem emisi kenderaan.
- Menjadi sebahagian sistem diagnostik dalam kenderaan (OBD).
- Komputer dengan akses kawalan dan pemantauan prestasi kenderaan, mengawal selia pemboleh ubah seperti halaju enjin (RPM), campuran bahan api dan pemasaan pencucuhan serta kawalan transmisi automatik.
Apa Maksudnya?
- Simbol periksa enjin akan muncul sama ada berkelip atau menyala berterusan, bergantung kepada jenis masalah dikesan komputer.
- Dalam dua situasi itu, anda disarankan membawa kenderaan ke bengkel atau pusat servis sah secepat mungkin.
- Jika indikator menyala tanpa kelip, itu tanda masalah, tetapi bukan tahap kecemasan. Bagaimanapun, anda perlu segera buat janji temu untuk diperiksa.
- Jika indikator menyala berkelip-kelip, itu menandakan anda mengalami masalah kritikal mengenai isu pencucuhan, iaitu bahan api tidak terbakar dan mula terkumpul dalam sistem ekzos.
- Keadaan itu boleh menyebabkan suhu dalam penukar bermangkin (catalytic converter) meningkat hingga berpotensi menyebabkan kerosakan.
- Jika situasi itu dikesan, anda perlu mengurangkan penggunaan kuasa kenderaan dan membuat pemeriksaan segera.
- Komputer dalam kenderaan moden masa kini biasanya akan cuba mengimbangi situasi kritikal iyu apabila mengesan sesuatu masalah, sekali gus menyebabkan kita tidak perasan berlaku pengurangan prestasi, kadar penggunaan bahan api tidak efisien atau pembebasan kadar emisi.
Jika Lampu Periksa Enjin Menyala
- Anda perlu periksa kenderaan untuk mencari jika ada sebarang tanda masalah yang memerlukan perhatian segera.
- Periksa simbol lampu amaran dan kluster instrumen kenderaan, termasuk indikator tekanan minyak rendah atau panas lampau (overheat). Jika menyala, anda perlu memberhentikan kenderaan dan mematikan enjin. Lakukan di tempat selamat yang tidak menghalang aliran trafik.
- Cuba ketatkan penutup tangki minyak. Ini lazimnya membantu menyelesaikan masalah tetapi memerlukan beberapa kali perjalanan sebelum lampu reset semula.
- Ada beberapa kenderaan dilengkapi indikator amaran penutup minyak longgar dan apabila diketatkan semula, simbol indikator Periksa Enjin akan dimatikan.
- Kurangkan kelajuan dan muatan. Jika lampu Periksa Enjin mula berkelip atau mengesan berlaku masalah prestasi serius seperti kehilangan kuasa, cuba perlahankan kelajuan untuk mengurangkan tekanan ke atas enjin.
- Contohnya, jika kenderaan ada sambungan dengan treler di belakang, anda perlu menanggalkannya dan buat pemeriksaan secepat mungkin untuk mengurangkan kos kerosakan.
- Buat bacaan kod. Bawa kenderaan bertemu pakar analisis kod untuk merungkai masalah sebenar.
- Jangan keliru antara lampu Periksa Enjin dan lampu Peringatan Servis yang menyala kerana jarak perbatuan atau faktor ukuran lain.
- Antara punca lampu amaran nyala adalah penutup minyak tidak ketat atau longgar, sensor oksigen, isu mengenai pencuchan atau palam pencucuh, dan penukar bermangkin.
BACA >>> #TahukahAnda: Inilah 10 Budaya Kereta Jepun yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Kereta Saya Tidak Boleh Pecut Macam Biasa?
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Tayar Berbunyi Selepas Silangkan Tayar?
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Tayar Bajet Tahan Lebih Lama Berbanding Tayar Prestasi?
BACA >>> #TahukahAnda: 6 Sebab Kenapa Kunci Kereta Boleh Tersangkut
SUMBER: Motorist
Leave a Reply