YAMAHA XSR900 Abarth ialah model café racer hasil kolaborasi Yamaha-Abarth, diilham berasaskan falsafah 'Faster Sons' dengan semangat warisan permotoran Yamaha, dan edisi kustom ini ditawarkan dalam unit terhad, 695 unit sahaja. Ia dijual Yamaha Eropah pada tanggal 17 Januari 2017 menerusi tempahan laman web.
Seramai 95 pelanggan pertama yang mendaftar akan dijemput secara eksklusif ke VIP Abarth Experience, manakala baki 600 unit lagi akan siap dipamerkan di pusat jualan Yamaha bermula April 2017. Model itu, yang dibina berasaskan Yamaha XSR900, dipamerkan sempena Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2016 dan dijana enjin 3-silinder CP3 850cc dengan Sistem Kawalan Traksi (TRS) dan Klac Bantuan dan Sliper (A&S).
Abarth, yang pakar dalam menghasilkan jentera lumba, menumpukan kepada perubahan komponen lebih ringan. Gaya café racer diserlahkan menerusi hendal clip-on dan pelana tunggal dengan posisi tunggangan menunduk.
BACA >>> Yamaha XSR700 Sport Heritage (2018) - Roadster Retro dengan Falsafah 'Faster Sons'
Walaupun imej retro café racer 1960-an cukup kental menerusi penggunaan material aluminium, Abarth tidak lupa bereksperimen dengan kemasan gentian karbon bermula kowl depan, fender hingga bahagian pelana. Akhir sekali, segala penampilan disempurnakan dengan kehadiran ekzos titanium Akrapovic berserta damper titanium double slip on. Cukup mantap!
Leave a Reply