POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran mana-mana penunggang basikal yang menunggang di lebuh raya boleh dikenakan denda minimum RM1,000 hingga RM5,000, atau penjara 12 bulan. Bagaimanapun, aktiviti dimaksudkan itu adalah menunggang secara berkumpulan.
Kenyataan itu dibuat Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim yang menurutnya, aktiviti berbasikal di lebuhraya hendaklah memenuhi kebenaran JSPT dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Penunggang yang melanggar peraturan tersebut akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika tidak mematuhi papan tanda jalan yang melarang basikal atas lebuh raya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala basikal boleh disita mengikut Seksyen 112(3).
Jika penunggang basikal didapati tidak memasang lampu depan dan belakang, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 35, iaitu sebahagian daripada Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dengan denda maksimum RM2,000 atau penjara hingga enam bulan.
Malah, kegagalan penunggang memasang loceng dan brek juga boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 42, iaitu denda hingga RM2,000. Mat Kasim menjelaskan, polis tidak menghalang aktiviti berbasikal, tetapi harus mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.
Beliau juga menasihatkan penunggang basikal memilih lokasi dan masa sesuai di luar waktu puncak bagi mengelakkan bersesak dengan kenderaan lain, termasuk menggangu kelancaran lalu lintas dan membawa risiko kemalangan. Pada masa sama polis juga meminta pemandu kenderaan lain supaya bertimbang rasa dan berhati-hati apabila terjumpa penunggang basikal.
Amaran berkenaan dikeluarkan berikutan isu kelompok basikal di lebuh raya kembali tular di media sosial susulan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Isu tersebut bukan saja menjadi keluhan dalam kalangan pengguna jalan raya, tetapi turut mencatatkan 150 kes kemalangan membabitkan penunggang basikal sepanjang Januari hingga September lalu.
SUMBER: HarianMetro | BeritaHarian
Matt says
Assalamualaikum. Saya syorkan buat laluan khas basikal.
Shah says
baguslah, bawaklah basikal mcm tahun 60an. Segalanya mundur. MTB, bmx, lajak semua x boleh. Creatif sikit pon susah.Kita ubah Sekali lagi..