PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara eksklusif di stesen televisyen tempatan semalam menjelaskan Kerajaan menaikkan kadar peratusan vaksinasi daripada 80 peratus kepada 90 peratus sebelum dibenarkan merentas negeri adalah bertujuan memastikan tiada negeri ketinggalan sebaik saja kebenaran diberikan.
Beliau berkata;
Saya cuma nak jelaskan, dahulu kata 80 peratus boleh rentas negeri, kenapa tiba-tiba jadi 90 peratus? Ini sebab kita lihat apabila 80 peratus, kita lihat banyak lagi negeri yang peratusnya masih kecil.
“Jadi kalau kita buka seluruh Malaysia, kita tak nak tinggalkan negeri-negeri yang masih kecil peratusan vaksin di negeri mereka. Jadi sebab itulah kita tunggu 90 peratus kerana kita percaya apabila 90 peratus, setiap negeri (rata-ratanya) sudah (mencapai) 80 peratus lebih. Jadi sebaik sahaja 90 peratus, kita akan umumkan. Ini berita gembira buat semua rakyat Malaysia."
BACA >>> Lembah Klang, Melaka, Kedah Beralih Fasa PPN Bermula Esok, 1 Oktober 2021
Ismail Sabri berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19, sektor pelancongan adalah antara sektor paling terjejas.
“Ia bergantung kepada rentas negeri. Selagi rentas negeri tidak dibenarkan, selagi itu pelancongan tidak boleh dimulakan, dari segi sektor pelancongan tak boleh dibuka,” katanya.
KE LUAR NEGARA TANPA MYTRAVELPASS
Mengenai MyTravelPass, Perdana Menteri berkata, Kerajaan akan membenarkan rakyat ke luar negara tanpa perlu memohon pas berkenaan sebaik saja program vaksinasi negara mencapai kadar 90 peratus.
Menurutnya;
Dahulu kita buat sekatan penerbangan kerana kita tak benarkan rakyat kita melancong ke luar negara sebab itu kita tapis siapa yang nak ke luar negara, tapi atas urusan perniagaan kita benarkan dan untuk pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran atau memasuki universiti pengajian tinggi swasta di luar negara memang kita benarkan tanpa MyTravelPass.
“Tetapi untuk pelancongan masih kita tak benarkan. Untuk suami berjumpa isteri memang kita benarkan tetapi perlu membuat permohonan... saya nak sebut apabila 90 peratus program vaksinasi telah tercapai untuk dua dos, kita akan membenarkan rakyat kita ke luar negara tanpa memohon MyTravelPass lagi."
Ismail Sabri berkata; masa untuk rakyat melakukan aktiviti rentas negeri sudah semakin hampir berikutan peningkatan kadar vaksinasi populasi dewasa seluruh negara.
Saya percaya ramai yang nak balik kampung…sesetengah itu dah setahun lebih tak tengok ibu bapa mereka, sesetengah (ada yang) ibu bapa tak sihat. Saya tahu, arwah mak saya dahulu kalau saya tak balik setiap minggu atau dua minggu sekali, dia akan menangis apabila telefon saya.
“Ramai yang saya percaya mempunyai situasi seperti yang saya pernah hadapi dahulu. Kita faham tetapi kerana masalah kesihatan, kita sekat pergerakan kita tetapi saya dah kata kita tak akan sekat pergerakan rakyat selama-lamanya."
BACA >>> Kes Pesakit COvid-19 Ke Jabatan Kecemasan HKL Catat Pengurangan Ketara
Leave a Reply