SEBELUM Perodua Axia dilancarkan, banyak ‘gambar curi’ telah dimasukkan dalam laman sesawang automotif tempatan yang sering menjadi perhatian mereka yang ternanti-nantikan keluaran model ini.
Daripada kedai kopi Ali hingga ke kopitiam, topik ini hangat jadi perbualan mereka. Macam-macam cerita kita boleh dengar. Ada yang kata menawan dan tidak kurangnya masih mengkritik kereta buatan Malaysia ini.
Jika tidak perasaan, pasti ingat mereka yang membincangkan perkara ini adalah jurutera Perodua. Manakan tidak, mereka boleh bercerita sehingga ke bahagian enjin. Hebat-hebat!
Kini, segalanya terjawab apabila Perodua melancarkan model terbaharunya, Perodua Axia yang dijual bermula pada harga RM24,600 hingga RM44,470. Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Untuk makluman, harga atas jalan Axia adalah lebih murah berbanding harga tentatif yang diumumkan sebelum ini. Pengumuman harga baharu yang lebih murah ini semestinya memberi khabar gembira buat peminat Perodua di mana harga ditawarkan dikurangkan antara satu hingga sembilan peratus.Berikut adalah senarai harga bagi keempat-empat varian:
EMPAT VARIAN
Perodua Axia hadir dalam empat varian: Standard E, Standard G, Special Edition (SE) dan Advance. Perbezaan utama antara kesemua model ini sudah semestinya melibatkan aspek rekabentuk luaran dan spesifikasi.
Menyentuh kepada nama Axia, perkataan ‘Axia’ (disebut a-zee-a) dipilih dengan menggabungkan perkataan Asia, di mana ‘X’ sebagai angka roman bagi nombor 10 yang mewakili model ke-10 Perodua. Lebih bersejarah buat Perodua, Axia adalah kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama negara.
Hasil janaan enjin 1KR-DE2 3-silinder bersesaran 1.0L, Axia mampu menghamburkan kuasa 66hp pada 6,000rpm dan tork puncak 90Nm (3,600rpm). Hasil bantuan kotak gear automatik 4-kelajuan, ia mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 20.1km per liter manakala 21.6km per liter bagi transmisi manual 5-kelajuan.
REKAAN BAHARU
Melihat aspek rekabentuk, Axia sebenarnya berkongsi platform yang sama dengan model Daihatsu Ayla. Namun, rekabentuk dalaman dan luarannya menerima rekaan baharu hasil idea jurutera Perodua sendiri.
Bagi varian Standard E dan G, rekabentuk luarannya tampak seakan sama seperti 'abangnya' iaitu Myvi. Standard E adalah varian paling asas di mana ia dijual pada harga RM24,600.
Jika harga berkurangan, mestilah ada ‘barang’ yang terpaksa dikorbankan. Antara yang paling ketara adalah ketiadaan radio dan pembesar suara. Sekiranya anda kaki muzik dan mahukan hiburan, apa kata lupakan saja hasrat untuk memilikinya melainkan 'tambah' sendiri selepas membeli.
Walaupun rasa pelik dengan ketiadaan radio, namun Perodua mempunyai alasannya tersendiri. Alasannya, mereka menyasarkan varian ini khas buat Institut Memandu. Selain itu, kajian mendapati ramai di antara pelanggan memilih untuk melakukan modikasi sendiri. Malah Perodua sendiri agak terkejut apabila peratusan mereka yang membeli varian ini lebih tinggi berbanding dijangkakan. Mengikut rekod diberikan, Perodua sudah menerima lebih 13,500 tempahan sejak ia dibuka pada 15 Ogos lalu.
Berlainan pula dengan varian SE dan Advance, ia hadir dengan bampar hadapan dengan gril radiator yang lebih lebar. Kerusi pula dibaluti dengan kulit selain hadir dengan ruang kabin lebih luas. Menyebut keluasan kabin, ia adalah lebih luas dan besar berbanding model Viva. Ruangan but belakang pula menawarkan keluasan sehingga 260L, iaitu lebih besar daripada model Viva dan Myvi. Mudah kata, ia mampu memuatkan empat bagasi pada satu masa sama.
Lebih menggembirakan, buat pertama kalinya, Perodua menawarkan jaminan lima tahun atau 150,000km perbatuan (mana-mana tiba dahulu) bagi semua model Perodua yang ditempah bermula 17 September ini. Aspek keselamatan, Axia turut mendapat pengiktirafan 4-bintang daripada ASEAN NCAP.
Jadi apa tunggu lagi, apa kata anda ke pusat pameran Perodua berdekatan untuk melihat dengan lebih dekat spesifikasi dan kehebatan Perodua Axia. Jika berkenan, bolehlah angkat satu atau masukkan dalam senarai anda.
Leave a Reply