KEBENARAN merentas negeri dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi selepas negara mencapai kadar 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beberapa langkah akan diambil untuk menyegerakan vaksinasi populasi dewasadalam masa terdekat dengan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan orang ramai menerima vaksin lengkap sekali gus mencapai sasaran 90 peratus dalam tempoh berkenaan.
Antara tindakan segera akan dilaksana ATM adalah mengatur gerak lebih banyak Pasukan Vaksinasi Perubatan Medan (CMVT) di kawasan pedalaman selain meluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan kepada orang awam.
Insya-Allah, kebenaran rentas negeri yang ditunggu-tunggu ramai akan diumumkan dalam masa terdekat. Apa perancangan yang kita lakukan bersama KKM itu, kita harap dapat dijayakan dalam tempoh tiga minggu ini.
"Jadi sebelum ia diumumkan, banyak perkara yang perlu difikirkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.
"SOP rentas negeri kita akan diumumkan sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat dan akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan," katanya.
Hishammuddin berkata demikian selepas meninjau pusat pemberian vaksin pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja Kem Ulu Tiram di Johor Bahru, hari ini.
BACA >>> 76.8 Peratus Dewasa Sudah Lengkap Vaksin, Malaysia Bakal Pulih Menjelang Oktober
BACA >>> Hati-Hati, Sudah 28 Kes Kemalangan Berlaku di Lokasi Ini Sejak 1 Januari 2021!
SUMBER: Bernama
Leave a Reply