PT ASTRA Honda Motor (AHM), iaitu pengedar jenama motosikal Honda di Indonesia menampilkan Honda CB500F Café Racer sempena Pameran Motosikal Indonesia (IMOS) 2016 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC).
Menarik mengenai Honda CB500F yang dipamerkan di salah satu pameran terbesar motosikal di Indonesia ialah model naked tersebut kini berubah wajah menjadi sebuah café racer. Model asal naked bike yang dilancarkan di Indonesia pada Februari lalu itu menerima kemasan kustom daripada bengkel pakar modifikasi terkenal Jakarta, Baru Motor Sport (BMS) dengan merombak keseluruhan badan Honda CB500F, manakala pakar cat, Tomi Airbrush menyarungkan pakaian baharu menerusi kemasan semburan cat.
Perubahan ketara dapat dilihat pada rupa depan, di mana rekaan lampu depan digantikan bentuk bulat khas café racer. Posisi hendal tinggi kini jadi lebih rendah yang mirip motor perlumbaan retro.
Bahagian tangki masih tetap sama, manakala belakang Honda CB500F Café Racer tampil dengan bentuk bulat cembung. Pelana juga mengalami perubahan total yang mendapat sentuhan kemasan kulit coklat. Tidak berhenti setakat itu, penggunaan warna hitam yang dipadukan dengan sentuhan warna perak nyata menegaskan kesan moden dan elegan.
SENTUHAN MODEN
Sentuhan moden boleh dilihat pada lampu depan dan belakang bercirikan LED, meter laju termignoni dan suspensi terbalik daripada Honda CBR1000RR. Penggunaan mufler kustom berkembar menyerlahkan kesan macho yang penuh kelelakian.
Membawakan konsep Techno Café Racer, Honda CB500F Café Racer dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Road 4 bersaiz 120/70 R17 di depan dan 160/70 R17, belakang. Bagaimanapun, tiada perubahan sektor jana kuasa yang masih menggunakan enjin bersesaran 471cc berkuasa 46hp (35kW) pada 8, 500 rpm dan tork 43Nm (7,000rpm). Tenaga disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi 6-kelajuan.
Leave a Reply