MAZDA beberapa hari lagi akan menampilkan Mazda CX-5 2017 versi segar semula kepada pengunjung Pameran Permotoran Los Angeles (LAAS) di Amerika Syarikat yang dijadualkan berlangsung 18 November ini. Bagaimanapun, kelibat kenderaan utiliti sukan (SUV) itu akan ditayangkan kepada umum pada 16 November, iaitu dua hari lebih awal sebelum LAAS.
Beberapa hari lalu, cuma foto teaser tersiar dan berlegar di kalangan peminat automotif seluruh dunia, tetapi tiada sebarang perincian teknikal didedahkan. Lama sebelum itu, foto intipan (spyshot) Mazda CX-5 2017 juga turut tersebar sejak Ogos lalu.
Berdasarkan foto teaser dan spyshot, penampilan Mazda CX-5 2017 kali ini nampak berbeza berbanding model sedia ada dengan profil rupa lebih agresif. SUV baharu itu juga tampak lebih rendah daripada model terdahulu dengan lampu depan tipis yang pastinya memberikan gaya menarik.
Menerusi Mazda CX-5 2017, Mazda jelas meneruskan kesinambungan kehalusan setiap elemen rekabentuk dan teknologi dalam menawarkan dimensi baharu pemanduan yang menyenangkan. Dengan mengangkat konsep rekabentuk, KODO - Jiwa Gerakan (Soul of Motion) kepada tahap baharu, Mazda berjaya menyerlahkan kecantikan jenteranya berserta kombinasi kecanggihan dan kekuatan.
Mazda CX-5 2017 turut dijangka mengikut jejak Mazda6 yang menawarkan kualiti NVH dan enjin diperhalusi.
GALERI
SUMBER: AutoExpress.co.uk
Leave a Reply