JIKA dilihat iklan motosikal baharu seperti Suzuki GSX-S1000 dan model pengeluar lain, ada beberapa persamaan dari segi penambahbaikan, iaitu pengurangan tindihan injap (reduced valve overlap).
Ciri itu menimbulkan beberapa persoalan, apakah tindihan injap? Bagaimanakah boleh berlaku? Kenapa perlu dikurangkan?
Jika anda ada persoalan sama, artikel ini akan membantu anda. Namun, sebelum membuat huraian lebih lanjut, ada baik kita menegtahu konsep asas mengenai injap dalam pembuatan motosikal.
PENGETAHUAN ASAS
Bahan api memerlukan injap untuk memasuki kebuk pembakaran dan mengeluarkan asap ekzos. Fungsi injap adalah membenarkan sesuatu masuk dan keluar serta menahan daya pembakaran.
Injap dibuka cuping aci (cam lobe) dan ditutup spring injap (kecuali sistem desmo Ducati). Ini bermakna ada had terhadap seberapa pantas sistem itu boleh tutup dan buka.
Dalam kejuruteraan automotif, tindihan injap adalah ukuran putaran aci (cam) ketika injap ambilan (intake) dan injap ekzos berada dalam keadaan terbuka pada masa sama
SISTEM TERDAHULU
Selepas sekian lama, pengeluar motosikal saling bersaing untuk mendapatkan kuasa puncak dengan cara mencipta enjin dengan tahap rev setinggi mungkin. Secara mudah, kuasa adalah tork yang ditambah rpm.
Namun, cara itu menyebabkan masalah terhadap injap kerana seperti dinyatakan tadi, ada had pada seberapa pantas boleh buka dan tutup. Jadi, bagi mendapatkan semua udara-petrol masuk dan asap ekzos keluar, injap perlu dibuka pada tempoh masa yang cukup.
Dalam keadaan piston bergerak atas-bawah dengan sangat pantas, masa memang tidak cukup untuk kedua-dua injap dibuka dan ditutup sendiri. Pengambilan udara-petrol juga tidak boleh lambat disuapkan kerana tiada cukup masa untuk kedua-dua bahan itu bercampur sepenuhnya dalam kebuk pembakaran.
Maksudnya, dalam situasi rev tinggi bagi enjin prestasi tinggi, ada satu tempoh penindihan injap (valve overlap) berlaku yang mana saluran dan injap ekzos terbuka serentak.
Walaupun sistem itu memiliki kelebihan ketika rev tinggi, ia juga ada kekurangan apabila rpm rendah, iaitu terotel kurang responsif dan motosikal rasa kurang berkuasa. Situasi injap ekzos terbuka ketika proses udara-petrol masuk ke kebuk pembakaran juga menyebabkan bahan api tidak terbakar boleh masuk ke dalam ekzos.
IMPAK REGULASI EU
Regulasi Euro5 yang diperkenalkan Kesatuan Eropah (EU) memaksa pengeluar motosikal mengurangkan tahap pengeluaran hidrokarbon dari ekzos kepada 50 peratus. Ini menjadikan sistem injap sebelum ni sudah tidak sesuai digunakan kerana kurang efisien ketika rpm rendah yang juga menyebabkan pembaziran bahan api.
JALAN PENYELESAIAN DIAMBIL PENGELUAR
Salah satu cara menyelesaikan masalah tersebut adalah menggunakan sistem pemasaan injap variabel (variable valve timing) yang selalu disebut dengan akronim VVT. Sistem itu berfungsi mengubah tindihan injap sepanjang julat rpm. Bagaimanapun, sistem VVT agak rumit dan mahal.
Cara penyelesaian terbaik adalah mengurangkan tindihan injap. Langkah itu akan menambah baik prestasi enjin ketika rpm rendah. Bagi memastikan prestasi enjin kekal sama, aci profil tinggi (high profile cam) digunakan supaya injap terbuka lebih luas walaupun masa terbuka lebih pendek. Hasilnya, lahirlah sistem injap baharu.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Kecederaan Arm Pump dalam MotoGP yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> #TahukahAnda: Bagaimanakah Helmet Bantu Zarco Capai 362kmj?
SUMBER: Motorcyclenews.com
Leave a Reply