ABANG baru saja dapat e-mel daripada pengirim misteri tentang satu artikel yang diterjemahkan daripada akhbar Cina, Sin Chew Daily pada 29 September lalu yang mendakwa Proton punca rakyat Malaysia tidak mampu beli rumah.
Mari abang ringkaskan intipati artikel tersebut:
- Penubuhan Proton menyebabkan harga rumah meroket tinggi dan membuatkan rakyat Malaysia tidak mampu beli rumah.
- Kerajaan mengabaikan pengangkutan awam kerana lebih cenderung menggalakkan rakyat memandu sendiri.
- Penubuhan Proton pada 80-an menyasarkan setiap rakyat mampu memiliki kereta, dan sebagai tambahan kepada pembangunan industri automotif tempatan.
- Namun dek hasrat itulah jumlah kereta bertambah (kerana Proton tentunya), sekali gus mengakibatkan kesesakan jalan raya.
- Bagi mengatasi masalah tersebut, Kerajaan kenalah melebarkan jalan dan memperkenalkan jalan raya bertol. Hah, tak ke pasal-pasal menyusahkan rakyat kerana perlu tanggung kos sara hidup tinggi seperti duit tol dan mengurangkan kuasa beli. Sebabnya, Proton!
- Tidak cukup dengan itu, penulis sentuh pula isu parkir. Katanya, disebabkan lambakan kereta Proton, pemaju terpaksa menyediakan sekurang-kurangnya 1-2 lot parkir. Parkir disediakan itu bukan percuma, sebaliknya dimasukkan dalam harga jualan rumah.
- Ini bermakna, disebabkan kereta Proton banyak, pemaju terpaksa sediakan lot parkir untuk kawasan perumahan. Setiap satu lot parkir menelan kos antara RM20,000 hingga RM30,000, manakala tambahan 2 lot parkir menjadikan kos meningkat RM40,000 hingga RM60,000. Inilah punca harga rumah naik 10-15 peratus. Sebabnya, Proton!
- Menurutnya, tanpa Proton, pengangkutan awam akan jadi semakin baik kerana kita tidak perlu beli dan bawa kereta, tidak perlu caj parkir, tol dan akhir sekali harga rumah murah.
Baiklah, abang akan jelaskan satu persatu persoalan dan hujah penulis berkenaan. Kata orang, hujah mesti dibalas hujah. Sebenarnya masa baca terjemahan artikel tu, abang tergelak sakan sampai tersedak biskut Hup Seng. Memang lawak kerana inilah kali pertama abang baca artikel yang mengaitkan kereta dengan kenaikan harga rumah. Bilionair dunia, Warren Buffet (foto atas kanan) sendiri pun tidak pernah mengaitkan Ford, General Motors atau kereta Jepun dan Korea sebagai punca krisis subprima (rumah tidak laku) di Amerika Syarikat (AS) pada 2007-2008 dulu.
Abang bukanlah marah penulis mahu menuding jari tentang masalah kenaikan harga rumah, tetapi biarlah rasional. Masalahnya, hujah penulis nampak logik tetapi tidak rasional. Analoginya seperti menuduh penjual pisang goreng sebagai punca nasi campur mahal kononnya orang dah kurang ambil nasi lebih. Sebabnya, peniaga nasi campur terpaksa menanggung kos memasak nasi yang berlebihan dan tidak habis. Jadi, kenalah naikkan harga nasi sebanyak 10-15 peratus.
PERMINTAAN DAN PENAWARAN
Nampak? Hujah pisang goreng-nasi campur di atas jika dibaca sekilas memang macam ada kaitan. Tetapi realitinya sudah tentu tidak logik, tiada kaitan, tidak relevan, mereng, gila isim dan sasau.
Punca kenaikan harga rumah sebenarnya sudah pun dibincangkan pakar-pakar ekonomi dan hartanah tempatan mahupun antarabangsa, di mana akar umbi permasalahan itu sebenarnya sama saja, iaitu tentang permintaan dan penawaran yang tidak seimbang disebabkan manipulasi golongan kapitalis jahat. Secara realistik dan masuk akal, harga rumah naik kerana berlaku pemilikan rumah di luar batasan oleh kelompok tertentu yang cuba ambik kesempatan dengan menjual semula rumah pada harga mahal disebabkan permintaan tinggi.
Macam tiket bola ketika final yang dibeli ulat tiket pada harga RM20, tetapi dijual pada harga RM100. Sebabnya, permintaan tinggi daripada peminat yang dipengaruhi spekulasi - final cuma sekali seumur hidup kot. Ini samalah seperti harga rumah, antara spekulasi dicipta spekulator hartanah - harga rumah makin naik tiap-tiap tahun. Kau kenalah beli sekarang. Kalau tidak, memang kau menyewalah sampai mati!
Nampak tak permainan kapitalis macam mana? Walhal dia cakap macam tu sebab nak jual rumah dia yang baik punya mark up puluh-puluh ribu. Kalau tak laku, mampus dia kena bangkrap dengan bank. Inilah punca krisis subprima di AS apabila orang buat dek saja tak beli rumah sebab mahal sangat. Berapa ramai kapitalis jadi bangkrap sepanjang tahun krisis berkenaan. Dan sudah tentu bukan sebab Ford ya.
PENGANGKUTAN AWAM TERABAI KERANA PROTON?
Abang tidaklah mahu memuji tinggi sangat hal pengangkutan awam Malaysia. Iyalah, abang bukannya tak tahu peel pembaca abang macam mana. Bab sokong Proton pun abang kena label macam-macam. Tapi macamlah abang peduli sangat segala tohmahan dan pujian. Bak kata haters abang dulu, hoi admin, please-lah be profesional! Masalahnya, bila masa pula abang mengaku profesional?
Ok, kita masuk bab pengangkutan awam. Abang harus mengakui pengangkutan awam kita jauh daripada sempurna. Tetapi untuk sesuka hati mendakwa pengangkutan awam kita teruk gila, nampak sangat yang berkata-kata itu bukanlah pengguna pengangkutan awam pun. Janganlah sebut Singapura saja, tetapi sebutlah juga sistem pengangkutan awam di Thailand dan Indonesia atau Filipina yang juga tiada kereta nasional. Bukalah Trip Advisor dan bacalah reviu pelancong dari negara-negara Asia Tenggara mengenai sistem pengangkutan Malaysia. Baca juga pengalaman mereka ke negara ini dan perbandingan sistem pengangkutan negara mereka dan Malaysia. Janganlah pesimis sangat.
Secara relatifnya, pengangkutan awam kita masih baik dan efisien, terutama di ibu kota. Murah pun boleh tahan. Baru-baru ni abang naik bas RapidKL dari lapangan terbang Subang ke LRT Bangsar dengan caj tambang RM2 saja. Penulis yang komplen tu tau ke berapa caj tambang bas? Atau dia sendiri pun tak pernah naik pengangkutan awam?
Walaupun secara peribadi tambang LRT dan Komuter masih murah bersandarkan kekayaan abang, tetapi itu tidaklah memadamkan hasrat abang untuk memperjuangkan caj tambang paling murah, terutama buat mereka yang berpendapatan rendah atau pengguna rutin pengangkutan awam.
KENAPA PROTON SAJA JADI PUNCA?
Namun isu paling besar, apa kaitan pula Proton dengan pengabaian pengangkutan awam? Kalau tidak silap abang, statistik jualan kereta setakat pertengahan tahun ini menunjukkan Proton berada di kedudukan keempat selepas Perodua, Honda dan Toyota. Jadi, celah mana kereta Proton banyak? Kenapa tidak sebut Perodua, Honda dan Toyota? Atau penulis merujuk Proton ketika zaman Saga kotak atau Wira?
Persoalannya, jika negara tiada dasar kereta nasional, apakah kereta jenama lain tidak banyak? Bukankah sama saja kerana pembelian kereta juga bergantung kepada penawaran dan permintaan? Bukankah kalau tiada Proton, kereta tetap juga masih banyak, cuma jenama saja lain? Mungkin Honda, Toyota atau Ford? Jadi, tidak mustahillah kalau tiada Proton, maka artikel penulis akan berubah jadi - Honda punca harga rumah meningkat?
Seperkara lagi, sikap menggunakan pengangkutan awam pula lebih kepada budaya setempat yang perlu dipupuk dan diamalkan, manakala proses pembudayaan mengambil masa lama. Mendidik masyarakat menaiki pengangkutan awam bukan benda magik, semudah membuat andaian rakyat Malaysia akan berbondong naik pengangkutan awam kalau Proton tiada. Ia bukan saja memerlukan inisiatif Kerajaan, tetapi turut menuntut perubahan sikap rakyat sesebuah negara itu.
Bab parkir, tidak perlulah abang ulas banyak. Nampak benar merapunya. Jawapan balas abang sama seperti di atas, iaitu tanpa Proton, apakah kereta di negara kita tidak banyak? Bagaimana pula peningkatan populasi penduduk? Mungkin penulis tidak setuju dengan dasar kereta nasional dan hala tuju automotif negara, tetapi apa pula ekonomi alternatif yang mahu disarankan sebagai ganti? Apakah mahu negara membangunkan industri nuklear? Atau fokus kepada hal pertanian? Entahlah, menuding jari memang mudah berbanding memberikan idea yang membina. Khennn...
Akhir kata, mungkin penulis cuma pernah ke Singapura, tetapi abang harap dia sesekali pergilah bercuti ke Jakarta. Cubalah rasa suasana hari biasa dan hujung minggu di sana. Abang yakin selepas balik ke Malaysia, dia akan lebih menghargai erti hari minggu di Malaysia.
Kesimpulan pasal Proton dan kenaikan harga rumah, rasa macam membazir pula abang ulas panjang-panjang benda yang sudah tentu tak masuk akal tu. Tetapi itulah, kalau bukan abang, siapa lagi? Penegak automotif dunia!
Leave a Reply