HONDA baru saja melancarkan model Civic Sedan generasi ke-11 di Amerika Syarikat dengan trenkuasa dinaik taraf, termasuk casis, teknologi dan ciri keselamatan dipertingkat.
Ada empat varian ditawarkan, iaitu LX, Sport, EX dan Touring dalam lapan warna pilihan, termasuk tiga warna baharu Meteorite Gray Metallic (kelabu), Sonic Gray Pearl (kelabu) dan Morning Mist Blue Metallic (biru).
Berikut perincian Civic Sedan (2021):
- Ada dua pilihan trenkuasa iaitu 4-silinder 2.0L aspirasi natural (NA) berkuasa 158hp dan tork 187Nm yang dipadankan transmisi automatik CVT. Varian LX dan Sport adalah dalam sistem pacuan roda depan (FWD).
- Varian EX dan Touring pula menerima trenkuasa 4-silinder 1.5 liter DOHC pengecas turbo berkuasa 180hp dan tork 240Nm, lebih tinggi 6hp dan 20Nm berbanding Civic sebelum ini. Peningkatan kuasa diperoleh daripada talaan semula sistem turbo dan injap ekzos VTEC, manakala transmisi sama seperti varian lain, automatik CVT.
- Saiz fizikal Civic sedan berubah dengan jarak roda ditambah 35mm dan ukuran panjang ditambah 33mm. Lebar dan tinggi kereta kekal seperti generasi sebelum ini.
- Bahagian bawah cermin depan diposisikan hampir 50mm ke belakang untuk mencipta bonet lebih panjang dan cermin yang lebih dekat dengan pemandu. Ia juga bertujuan mengurangkan gangguan pantulan cahaya.
- Varian LX, Sport dan EX menerima kluster instrumen 7.0 inci dengan paparan digital spidometer dan takometer sebelah kiri, manakala sebelah kanan spidometer analog. Ketiga-tiga varian itu didatangkan bersama unit infotainment 7 inci jenis apung di tengah papan pemuka.
- Varian Touring pula dilengkapi kluster instrumen digital penuh 10.2 inci dengan paparan graf bentuk bar. Juga diberikan unit infotainment 9 inci, iaitu paling besar dalam barisan produk kereta Honda. Varian ini turut dilengkapi 12 pembesar suara stereo Bose. Unit infotainment diposisikan lebih rapat kepada pemandu berbanding model terdahulu.
- Rekaan luaran nampak lebih matang dengan bentuk melengkung berbanding Civic lama. Rekaan dalaman nampak lebih menarik seperti kereta retro dengan motif sarang lebah melintang sepanjang papan pemuka yang disepadukan bersama ventilator penyaman udara.
- Sedan ini menerima pakej keselamatan Honda Sensing dinaik taraf yang dioperasikan menggunakan kamera tunggal dan lapan sensor sonar, digunakan untuk teknologi Bantuan Kesesakan Trafik, Kawalan Brek Halaju Rendah, dan teknologi lain.
SUMBER: Motor1
Leave a Reply