KONDISI jalan raya teruk seperti licin, berlubang atau rosak, ataupun cuaca buruk seperti hujan lebat, lumpur atau salji boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu.
Jika anda inginkan ekstra keselamatan dan keyakinan memandu dalam apa saja kondisi jalan raya dan cuaca, tetapi masih mahu memandu kereta jenis sedan, maka model sedan dengan konfigurasi pacuan semua roda (AWD) adalah pilihan terbaik buat anda.
Namun, sedan AWD bukanlah kenderaan yang sempurna serba serbi. Sama seperti kenderaan lain, kereta jenis ini juga ada kelebihan dan kekurangan sendiri.
Antara model sedan AWD terkini yang boleh dibeli di pasaran ialah Kia Stinger, Audi A4, BMW 5 Series, Subaru Impreza dan Mazda3.
APAKAH AWD?
AWD direka untuk kegunaan atas jalan dengan kebolehan menghantar kuasa enjin kepada semua tayar pada masa sama. Sistem itu akan membantu kereta bergerak ke depan lebih baik berbanding kenderaan pacuan roda depan (FWD) dan belakang (RWD) atas jalan bersalji dan basah.
Bagi kenderaan prestasi tinggi, sistem AWD membantu mengalihkan tork dari enjin ke permukaan jalan ketika membelok pada halaju tinggi dan ketika kenderaan bergerak dalam kuasa tinggi. Kebanyakan sistem AWD berkebolehan memberikan tork antara tayar depan dan belakang dengan lancar jika diperlukan. Penukaran kepada pemanduan dua roda juga boleh dilakukan dalam keadaan sesuai untuk mendapatkan penjimatan bahan api.
AWD boleh digunakan atas jalan tanpa kesan buruk kerana direka untuk membolehkan setiap tayar berpusing pada halaju sendiri ketika membelok. Ini kerana tayar bahagian dalam berpusing lebih lambat di selekoh berbanding tayar bahagian luar.
Jadi, AWD adalah sistem pacuan yang lebih baik daripada 4WD untuk pemandu biasa yang mahukan keselamatan ketika cuaca buruk. Penerangan lanjut mengenai perbezaan AWD dan 4WD boleh klik pautan INI.
KELEBIHAN SEDAN AWD
1. Traksi Lebih Baik Atas Jalan Licin
Sedan AWD berkebolehan memecut atas jalan licin jauh lebih baik daripada kereta 2WD, sama ada FWD atau RWD.
Kebiasaannya, kereta 2WD berisiko kehilangan traksi dan mudah tergelincir ketika melalui jalan licin dan bersalji. Lebih teruk, kereta boleh tergelincir hingga keluar laluan dan terlanggar kenderaan lain.
Jadi, sistem AWD menambah baik kebolehan kereta untuk memecut dengan selamat dan stabil.
2. Kurang Risiko Berpusing Ketika Keluar Selekoh
AWD tidak meningkatkan aspek pengendalian kenderaan atas jalan kering secara langsung, tetapi bergantung kepada kenderaan. Kereta prestasi tinggi menggunakan sistem AWD kerana sistem tersebut dapat menyerap banyak kuasa tanpa memusingkan tayar berlebihan.
Hasilnya, pecutan lebih pantas dapat dilakukan tanpa mengenakan banyak tekanan ke atas tayar. Pemandu juga lebih yakin untuk mengerahkan kuasa daripada kereta.
KEKURANGAN SEDAN AWD
1. Tidak Beri Keselamatan Total Atas Jalan Licin
Fakta ini ramai pemandu terlepas pandang. Walaupun benar sedan AWD mengurangkan risiko tayar tergelincir, tetapi sistem ini tidak menambahkan lebih cengkaman ketika membelok di selekoh dalam cuaca buruk. Pemilihan tayar juga memainkan peranan penting.
2. Sistem Lebih Kompleks dan Kos Lebih Tinggi
Sesetengah pengeluar menawarkan AWD sebagai opsyen varian, dan kebiasaannya berharga lebih tinggi. Sistem AWD yang kompleks membuatkan kos servis dan baik pulih lebih tinggi kerana lebih banyak komponen digunakan seperti tambahan diferensial, klac dan lain-lain.
3. Lebih Makan Minyak
Sistem AWD lebih berat yang secara langsung memberikan kesan negatif terhadap ekonomi bahan api. Bagaimanapun, perbezaan itu tidaklah besar jika dibandingkan kereta FWD dan RWD. Bagi sesetengah model, perbezaan penjimatan bahan api cuma 1.5km per 3 liter.
BACA >>> Mercedes-AMG GT Black Series Catat Masa AWD Terpantas di Nürburgring
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Beza Jarak Roda (Wheelbase) Panjang vs Pendek?
SUMBER: Car and Driver
Leave a Reply