KELUHAN pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin akhirnya mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan cuba membantu atlet sukan permotoran itu menjalani latihan di rumahnya.
Hafizh sebelum itu meluahkan rasa tidak puas hati mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan pihak berkuasa terhadap atlet sepertinya. Dia mempertikaikan tempoh masa kuarantin di hotel selama seminggu selepas pulang dari luar negara walaupun sudah menjalani ujian calitan dan mengambil suntikan Covid-19.
Hafizh juga mengharapkan dibenarkan kuarantin di rumah supaya dapat terus berlatih kerana masa sangat penting bagi seseorang atlet dan tempoh seminggu diberikan sangat lama.
Tambahan lagi dia mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk pulang berlatih di tanah air bagi menjimatkan kos sementara menunggu pusingan Kejuaraan Dunia MotoGP seterusnya.
Hafizh dipetik HMetro berkata;
Alhamdulillah sudah ada jalan penyelesaian dari KBS dan KKM. Terima kasih kerana mendengar luahan saya.
"Terima kasih juga kerana pandang berat perkara ini. Ia bukan saja baik untuk saya tapi juga untuk atlet lain yang berdepan kekangan masa.
"Saya tahu KKM sangat ambil berat berhubung kes Covid ini. Tapi untuk atlet yang berdepan masa yang terhad pulang untuk tempoh tertentu sebelum terbang balik untuk berdepan perlumbaan seterusnya, adalah wajar mereka diberi kelonggaran untuk kuarantin di rumah," katanya.
Hafizh akan mengharungi perlumbaan keempat pada 2 Mei ini di Litar Jerez. Alasan kenapa dia memilih untuk pulang dan tidak tinggal di Eropah adalah kerana perlu berjimat untuk meneruskan saingan musim akan datang.
Menurutnya lagi, segala perbelanjaan untuk perlumbaan musim ini perlu ditanggung sendiri seperti kos perjalanan, dan penginapan. Jika di Sepanyol, kos penginapan saja menelan belanja kira-kira €1,500 (RM7,460) sebulan, termasuk membayar upah jurulatih, dan kos sampingan lain.
Sebaliknya di Malaysia, dia sudah ada jurulatih sendiri dan boleh buat perkara sama seperti di Eropah.
"Itu sebab saya sangat mengharapkan untuk menjalani kuarantin di rumah bila balik di sini. Saya akan ikut prosedur yang ditetapkan pihak atasan," katanya.
BACA >>> #Videotomotif: Beginilah Cara Marc Marquez Berlatih Sepanjang Musim Panas Ini
BACA >>> #Videotomotif: Beginilah Cara Rossi Berlatih, Memang Tiada Beza Macam Pelumba Muda!
SUMBER: HMetro
Leave a Reply