RAMAI bertanya, boleh atau tidak memandu memakai selipar atau sandal? Jawapan umum, boleh, berdasarkan undang-undang dan berbeza mengikut sesebuah negara. Malah anda boleh memandu atau menunggang dengan memakai sandal, selipar atau kasut tumit 6 inci sekalipun walaupun tidak digalakkan.
Apa pula kata undang-undang?
Di Britain, sebelum memulakan perjalanan, pemandu (atau penunggang) di sana perlu memastikan pakaian dan kasut (footwear) yang dipakai tidak menghalang mereka mengendalikan kenderaan dengan cara sebenar. Jika berlaku kemalangan dan didapati berpunca akibat pemakaian kasut tidak sesuai seperti selipar atau sandal, ia boleh dianggap kecuaian dan boleh disaman.
Di Malaysia pula, pemegang lesen vokasional (GDL) seperti pemandu bas, lori atau kenderaan pengangkutan awam dianggap melakukan kesalahan dan boleh dikompaun sekiranya memandu memakai selipar. Bagaimanapun tidak menjadi kesalahan bagi pemandu lesen biasa, tetapi mereka tetap disarankan memandu memakai kasut sebagai langkah keselamatan.
BACA >>> #TahukahAnda: Memandu Pakai Selipar Boleh Kena Saman?
APA MASALAH MEMANDU PAKAI SELIPAR/SANDAL?
Kajian firma insurans Britain, Sheilas’ Wheels pada 2013 mendapati, seorang daripada tiga pengguna jalan raya di Britain mengaku memandu memakai selipar dan seorang daripada 10 pemandu memberitahu selipar pernah tersangkut di bawah pedal ketika memandu.
Antara risiko memakai selipar atau sandal adalah:
- Bahagian depan atau sisi selipar boleh tersangkut bawah pedal brek ketika menggerakkan kaki, menyebabkan kegagalan membrek efektif.
- Tapak selipar sudah haus dan boleh menyebabkan kurang traksi atau grip ketika menggunakan pedal. Situasi jadi lebih buruk jika selipar basah.
- Selipar mudah tertanggal hingga menyebabkan gangguan fokus pemanduan kerana pemandu akan cuba menyarung balik selipar mereka.
- Pemandu memakai selipar memerlukan jarak lebih panjang untuk menghentikan kenderaan apabila membrek. Ada kajian mendedahkan pemandu berselipar boleh terlajak jarak hingga 3.5 meter berbanding pemandu berkasut dengan kelajuan 100kmj.
RISIKO PAKAI SELIPAR/SANDAL
Sekarang kita akan bincangkan risiko yang bakal dihadapi pemakai selipar atau sandal mengikut jenis pemandu:
Wanita Kasut Tumit Tinggi
- Pedal kereta direka untuk berfungsi optimum dalam posisi tumit pemandu atas lantai kereta. Jika memakai kasut tumit tinggi, anda sukar memijak pedal secara berkesan.
- Kasut tumit tinggi juga menyebabkan buku lali mudah lenguh ketika memandu dan boleh menyebabkan masalah sendi serta kecederaan otot.
BACA >>> Selalu Usung Perempuan Lain Naik Motor, Wanita Ini Belasah Motosikal Pakwe
Penunggang Motosikal
- Jangan sesekali menunggang motosikal tanpa memakai pelindung kaki seperti kasut. Sikap tidak kisah ketika menunggang boleh menyebabkan kecederaan teruk pada kaki apabila berlaku kemalangan. Silap hari bulan, tiada lagi jari kaki atau pergelanggan kaki boleh terputus.
Pemandu 'Kaki Ayam'
- Jangan tidak tahu, memandu berkaki ayam jauh lebih baik daripada memakai kasut tidak sesuai. Malah juara dunia Formula Satu (F1) dari New Zealand, Denny Hulme sudah biasa berlumba dengan gaya kaki ayam sekitar 1950-an.
- Namun ingat, tapak kaki anda tiada cengkaman seperti tapat kasut, dan tidak semua pedal kereta memiliki grip. Ada sesetengah pedal kereta langsung tiada permukaan grip, cuma besi licin semata-mata.
- Memandu tanpa kasut juga boleh menyebabkan kecederaan pada hujung tapak kaki, dan berisiko tergelincir atau tergelungsur pada celahan jari kaki. Jadi, cara paling selamat, pakai kasut!
BACA >>> 10 Tip untuk Penggemar Aktiviti Larian, Jalan Kaki di Jalan Raya
SUMBER: Motorsport | InGearAuto | StandardMedia | MockTheoryTest
Leave a Reply