UMUM mengetahui musim baharu Kejuaraan Dunia MotoGP 2021 sudahpun bermula hujung minggu lalu di Litar Antarabangsa Losail, Qatar. Hujung minggu ini pula berlangsung pusingan kedua di litar sama.
Kebiasaannya, perlumbaan MotoGP akan diadakan selama tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Sebelum semua pelumba memulakan aksi final pada Ahad, mereka perlu terlebih dahulu melalui pusingan Kelayakan (Qualifying).
Jika anda baru berjinak-jinak mengikuti sukan MotoGP, anda mungkin sedikit sukar memahami proses pusingan Kelayakan ini. Jangan risau, artikel ini akan menjawab kemusykilan anda.
Ringkasnya, pusingan Kelayakan MotoGP terbahagi kepada beberapa sesi, iaitu Latihan Bebas (Free Practice, FP), Latihan Bebas ke-4 (FP4), sesi Kelayakan 1 (Q1) dan Kelayakan 2 (Q2).
Berikut huraian ringkas setiap sesi Kelayakan MotoGP.
LATIHAN BEBAS (FREE PRACTICE)
Ada tiga sesi Latihan Bebas (FP) untuk perlumbaan MotoGP. Setiap sesi berlangsung 45 minit dan diadakan pada Jumaat dan Sabtu yang mana 10 pelumba terpantas mana-mana sesi FP akan memasuki pusingan Q2 untuk menentukan grid final pada Ahad nanti.
Berbeza sesi FP Formula Satu (F1) yang agak membosankan, sesi latihan dan format Kelayakan MotoGP jauh mendebarkan dan menghiburkan kerana setiap pelumba akan cuba melakukan aksi terbaik hingga saat akhir dalam usaha memasuki Q2.
FP4
Walaupun masih dalam fasa FP, masa dicatatkan dalam sesi latihan ke-4 (F4) tidak dikira untuk pusingan Kelayakan. Sesi ini hanya berlangsung 30 minit dan diadakan sebelum pusingan Kelayakan.
Fungsi FP4 adalah memberikan pelumba peluang mengubah suai jentera mereka mengikut situasi tidak dijangka seperti cuaca buruk dan kemalangan yang memerlukan baik pulih segera. Ada juga sesi pemanas badan pada hari perlumbaan untuk tujuan sama.
SESI Q1 DAN Q2
Pusingan Kelayakan MotoGP terbahagi kepada dua sesi, iaitu Q1 dan Q2.
Seperti dinyatakan awal tadi, hanya 10 pelumba terpantas pada tiga sesi FP pertama akan bersaing dalam Q2. Bagaimanapun, sesi Q1 akan bermula dahulu yang melibatkan pelumba di luar kedudukan 10 terpantas tadi.
Kemudian, dua pelumba terpantas Q1 akan diberikan peluang bersaing dalam Q2. Ini menjadikan pusingan Q1 menarik kerana pelumba yang gagal meraih kedudukan 10 terpantas dalam FP akan bekerja keras untuk layak ke Q2 kerana cuma ada dua slot disediakan. Malah, mereka boleh merampas kedudukan grid pertama (pole position) jika cukup pantas walaupun sebenarnya sangat jarang berlaku.
Selepas tamat sesi Q2, maka selesailah setiap posisi grid buat setiap pelumba sebelum perlumbaan final bermula.
BACA >>> #Tahukah Anda: Kenapa Tayar Ganti Lebih Kecil daripada Tayar Biasa?
BACA >>> #TahukahAnda: Adakah Bunyi Lain yang Lebih Kuat daripada Ekzos Motosikal?
SUMBER: Jalopnik
Leave a Reply