KEMENTERIAN Pengangkutan memutuskan melanjutkan pengecualian pembaharuan Lesen Memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) persendirian berkuatkuasa 1 April sehingga 31 Mei 2021 susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) berikutan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, pengecualian itu bukan alasan untuk pemilik kenderaan tidak memperbaharui perlindungan insurans dan perlu mengemukakan sijil perlindungan (e-cover note) jika diminta mana-mana anggota penguat kuasa trafik.
Berikut perincian pengecualian tersebut:
- Pengecualian Pertama: LM dan LKM yang tamat tempoh antara 1 Februari hingga 31 Mac 2021. Perlu diperbaharui dalam tempoh 60 hari bermula 1 April hingga 31 Mei 2021.
- Pengecualian Kedua: LM dan LKM yang tamat tempoh antara 1 April hingga 31 Mei 2021. Perlu diperbaharui dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun hingga 31 Julai 2021.
Jika gagal memperbaharui mengikut tempoh masa diberikan, pemilik LM dan LKM dianggap melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.
GDL dan PSV
Bagaimanapun, pengecualian tersebut tidak melibatkan pemilik Kenderaan Perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV). Ini kerana perkhidmatan pembaharuan bagi dua kategori berkenaan dibenarkan mengikut jadual Perkhidmatan Perlu (Essential Services) berdasarkan Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit.
Proses memperbaharui GDL dan PSV boleh dibuat di semua kaunter atau pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh PKP.
PUSPAKOM juga beroperasi dan turut menyediakan perkhidmatan berhubung pembaharuan. Penangguhan diberi kerana Kementerian mahu mengelakkan kesesakan di tempat awam selain membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Leave a Reply