KLAC ialah komponen yang dipasangkan antara unit enjin dan transmisi (juga dipanggil kotak gear). Ada pelbagai saiz dan tahap keupayaan operasi klac yang berbeza mengikut kapasiti enjin atau model motosikal.
Fungsinya, menghubungkan kuasa daripada unit enjin kepada sistem transmisi dan seterusnya kepada roda belakang. Sistem klac juga boleh memutuskan hantaran kuasa ini.
Perkembangan teknologi membawa kepada penciptaan sistem klac baharu, dipanggil klac antigelincir Assist & Slipper (A&S) yang berbeza daripada klac konvensional. Sebelum ini, teknologi klac jenis cuma dipasangkan motosikal kapasiti besar (big bike), tetapi kini sudah boleh didapati pada motosikal bawah 250cc seperti supermoped baharu, Y16ZR.
APAKAH 'ASSIST'?
Istilah 'Assist' memberikan gambaran tentang bagaimana teknologi klac baharu itu membantu memudahkan penunggang menarik tuil klac. Teknologi klac A&S menggunakan spring klac ringan yang tidak memerlukan penunggang menggunakan banyak tenaga atau usaha menarik tuil klac untuk menukar gear.
Walaupun ciri ini tidak memberikan impak prestasi, tetapi ia sangat memberikan keselesaan kepada penunggang kerana mereka kini boleh menunggang tanpa rasa lenguh setiap kali menarik dan melepaskan klac, terutama di kawasan bandar atau lalu lintas sesak.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Hos Brek - Kenali Material, Kesan Rosak dan Cara Servis
APAKAH 'SLIPPER'?
Ketika terotel diperah, enjin mula menghantar kuasa ke roda belakang melalui sistem pacuan (contoh, sistem rantai sproket). Apabila terotel ditutup, berlaku situasi sebaliknya. Enjin akan berhenti menghantar kuasa, manakala roda belakang akan mengawal naik-turun piston dalam enjin melalui sistem pacuan.
Apabila penunggang menurunkan gear secara pantas (quick downshifting), tindakan ini menyebabkan roda belakang berpusing lebih pantas daripada pergerakan enjin. Justeru tork yang terhasil menerusi cara ini (downshifting) akan menyebabkan stres atau tekanan tinggi terhadap sistem rantai dan sproket, swingarm serta roda belakang.
BACA >>> #RetroAuto: Idea Doohan, Skil Rossi Popularkan Brek Ibu Jari dalam MotoGP
Ini paling ketara berlaku apabila penunggang menurunkan satu hingga tiga posisi gear secara quick downshifting, kebiasaannya ketika hendak mengambil selekoh dalam halaju tinggi, atau ketika hendak berhenti daripada memecut.
Situasi tersebut membawa kepada pembrekan enjin (engine braking). Jika tork dihasilkan tinggi, tayar belakang boleh melantun-lantun, menggelupur atau terkunci terus dan boleh hilang traksi. Keadaan ini sangat berbahaya di selekoh dan boleh menyebabkan kecederaan hingga membahayakan nyawa.
Jadi, apabila sistem mengesan perbezaan enjin dan kelajuan, sistem klac A&S akan berpisah seketika daripada enjin untuk menyekat hantaran kuasa ke roda belakang bagi menstabilkan casis motosikal. Di sinilah fungsi 'Slipper' bekerja yang membantu menstabilkan casis motosikal dengan menggelincirkan klac dan menyerap lebihan tork daripada roda belakang.
Klac slipper boleh dikatakan berfungsi mengurangkan efek pembrekan enjin yang berisiko menyebabkan tayar menggelincir atau tersentak akibat gear diturunkan mendadak ketika hendak membelok dalam halaju tinggi. Sebab itulah teknologi A&S ini diterjemahkan sebagai klac antigelincir walaupun secara teknikal, ia memang menggunakan klac gelincir (slipper). Jadi jangan silap faham ok.
BACA >>> #TahukahAnda: Segala Tentang Pad Brek yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Brek Cakera di Depan, Tapi Brek Dram di Belakang?
Video di bawah ini akan memberikan gambaran lebih jelas:
- Kopling - klac/clutch
SUMBER: Yamaha | Foride | CarBikeTech | ShiftingGears
Leave a Reply