BARU-baru ini tular luahan seorang pemilik 'Waisuku' yang disaman kerana ekzos bising. Katanya, ekzos bising adalah untuk keselamatan. Bagi sesetengah penunggang motosikal, kalau ekzos senyap, pengguna jalan raya lain tidak boleh perasan kelibat mereka.
Tidaklah dapat diketahui sama ada mereka benar-benar memasang ekzos bising demi keselamatan, atau sekadar alasan untuk berselindung di sebalik hobi modifikasi.
Polemik ekzos bising untuk keselamatan ini bukan isu Malaysia saja, tetapi sudah berstatus antarabangsa kerana dibincang penunggang motosikal seantero dunia. Jadi tidak timbul isu hal-hal ini hanya berlaku di Malaysia kerana banyak negara turut menguatkuasakan larangan ekzos bising.
BACA >>> Pemilik Waisuku Kena Saman: Ekzos Bising untuk Keselamatan Saya
BACA >>> Ekzos Bising Lebih Selamat untuk 4 Situasi Ini, Setuju atau Tidak?
EKZOS BISING SELAMAT NYAWA?
Loud Pipes Don’t Save Lives"
Benarkah kenyataan di atas? Hujah dilontarkan nampak semacam boleh diterima akal dan logik juga. Namun, adakah benar ekzos bising (atau kuat) benar-benar mampu menyelamatkan nyawa penunggang? Adakah wujud bukti saintifik dan data teknikal yang menyokong kenyataan tersebut?
Menurut Institut Insurans untuk Keselamatan Lebuh Raya dan Institut Data Kematian Lebuh Raya (IIHS-HLDI), jumlah kematian penunggang pada 2014 adalah 27 kali ganda lebih tinggi daripada kematian pemandu kereta. Ini bukanlah mengejutkan kerana angka kematian jalan raya Malaysia pun sama. Biasanya kes kematian kalangan penunggang adalah lebih tinggi daripada pengguna jalan raya lain.
Mengikut data didedahkan kajian keselamatan motosikal di Amerika Syarikat (AS), Hurt Report, 75 peratus kemalangan motosikal melibatkan perlanggaran dengan kenderaan lain, terutama kereta, yang mana sebab utama adalah pemandu gagal mengesan kelibat penunggang.
Kajian di New Zealand pula, 65.3 peratus daripada kes kemalangan dianalisis menunjukkan jenis pakaian penunggang tidak memberikan sebarang kesan yang mampu membuatkan pemandu menyedari kelibat penunggang.
KENAPA TIDAK PERASAN PENUNGGANG
Memang benar antara sebab kemalangan melibatkan penunggang adalah pemandu tidak nampak kehadiran mereka. Bagaimanapun, tiada kajian saintifik mengenai kaitan bunyi ekzos dan kelibat penunggang. Ini bermakna tiada bukti boleh digunakan untuk menyokong dakwaan ekzos bising adalah baik untuk keselamatan penunggang.
Namun, kita sebenarnya tidak perlukan bukti saintifik pun untuk membuktikannya. Ini kerana majoriti pemandu gemar mendengar muzik ketika memandu. Kewujudan radio dan teknologi strim lagu setiap kali kereta dihidupkan cukup membuatkan mereka tidak dapat mendengar bunyi-bunyian luar.
Apatah lagi kereta moden sekarang mempunyai sistem pengedap yang sangat baik hingga bunyi luar hampir tidak kedengaran. Itu belum mengambil kira situasi pemandu yang gemar menggunakan telefon bimbit ketika memandu dengan fon telinga sentiasa melekat di telinga.
Lagi, dalam situasi penunggang menyelit atau ‘mencilok’ pada halaju tinggi, penunggang perlu sedar hanya pejalan kaki yang menyedari kehadiran mereka. Jika menunggang pada halaju 150kmj, hampir mustahil kereta di depan dapat dengar dan perasan kelibat anda dan motosikal.
Faktanya, gelombang bunyi yang dilontarkan ekzos tidak berfungsi seperti siren ambulan, tetapi bergantung kepada perahan atau buka-tutup terotel. Dalam pemanduan sekata, deruman bunyi ekzos akan kedengaran senada dan konsisten, serta bukan berbunyi amaran kecemasan. Lebih penting, sistem bunyi keselamatan mesti dikombokan denga lampu amaran sebagai isyarat visual supaya pemandu nampak
Persoalan lainnya, bagaimanakah pengguna jalan raya lain hendak perasan kelibat kita, terutama ketika malam, sekiranya lampu motosikal pun tidak nampak walaupun dia mungkin mendengar deruman ekzos yang bising.
Apa hendak disampaikan di sini, agak tipis peluang nyawa penunggang motosikal dapat diselamatkan hanya dengan bunyi ekzos. Bunyi kuat mungkin boleh menarik perhatian, tetapi cara tunggangan, skil membrek dan komponen motosikal yang berfungsi sempurna adalah jauh lebih penting untuk keselamatan.
EKZOS BISING KACAU KETENTERAMAN?
Namun dalam isu sosial lain, ekzos bising terbukti mengganggu ketenteraman awam. Kita sendiri tahu sangat kurang mat motor yang betul-betul beretika dengan ekzos bising mereka. Selalu saja mereka sengaja memandu laju dan memerah ekzos di kawasan perumahan, termasuk saling berlawan bunyi. Maklumlah, apa guna ekzos kuat kalau tidak dapat mendengar 'kesyahduan' deruman bunyi.
Bagaimanapun, lebih baik jika mana-mana institut atau pihak berkuasa melakukan kajian tentang hal ini berikutan kekurangan data yang kita ada. Jika benar bunyi ekzos boleh memberi lebih keselamatan kepada penunggang, mungkin pihak berwajib boleh membuat garis panduan yang lebih jelas dan mudah difahami semua orang.
BACA >>> Kena Paksa Tukar Balik Ekzos Standard
SUMBER: riders.drivemag.com
Leave a Reply