PASARAN kenderaan utiliti sukan (SUV) bukan saja jadi trending pengeluar automotif biasa, tetapi juga mewah. Terbaharu, Ferrari kelihatan mula menguji SUV pertama jenama itu di fasiliti ujian tertutup.
Berdasarkan foto intip media permotoran Auto Express, sebuah kereta dengan seragam kamoflaj tampil berbeza berbanding lakaran artis yang tular di Internet, terutama rekaan lampu depan dan belakang. Bagaimanapun, selagi belum rasmi dilancarkan, prototaip itu bukan model pengeluaran akhir.
Model SUV Ferrari itu dibangunkan di bawah nama Purosangue dengan kod F175, dan bakal dilancar pada awal 2022. Prototaip berkenaan menggunakan platform SUV Maserati Levante. Rekaan bonet depan panjang dan membonjol memberikan gambaran kasar Purosangue itu bakal dijana enjin depan-tengah (front-mid) jenis V8 atau V12.
Ujian musim sejuk dijalankan itu juga mendedahkan SUV tersebut akan mempunyai mod salji seperti Lamborghini Urus.
Kehadiran SUV baharu Ferrari itu pasti menambahkan saingan dalam pasaran SUV ultra mewah seperti Aston Martin DBX, Lamborghini Urus, Bentley Bentayga dan Rolls-Royce Cullinan. Jika anda termasuk dalam golongan hartawan yang cukup duit untuk memiliki SUV, Purosangue ialah model perlu ditunggu kerana sentuhan jenama mewah dari Itali itu biasanya jarang mengecewakan.
SUMBER: autocar.co.uk | autoexpress.co.uk | carmagazine.co.uk
Leave a Reply