SAMA seperti negara lain, Indonesia juga tidak terkecuali terkena kesan ekonomi berikutan krisis wabak Covid-19 yang melanda dunia, terutama dalam sektor automotif.
Wakil pengedar rasmi jenama Toyota di Indonesia, Toyota Astra Motor (TAM) mencatatkan kemerosotan jualan sepanjang 2020 walaupun kekal sebagai jenama automotif nombor satu di republik itu. TAM merekodkan jualan 182,665 unit sepanjang 2020 dengan menguasai 31 peratus jualan kenderaan di Indonesia walaupun sebenarnya angka itu banyak merosot berbanding 2019.
Jika diperincikan, Toyota mencatatkan 66,599 unit pada penggal pertama 2020, tetapi cuma mampu menjual 23,366 unit pada penggal kedua berikutan wabak Covid-19 yang melanda. Pada kuartel ketiga, industri automotif Indonesia mula perlahan-lahan bangkit semula dengan mencatatkan jualan 35,111 unit, dan terus melonjak kepada 54,589 unit pada penggal keempat, yang hampir menyamai jumlah jualan penggal pertama lalu.
Berdasarkan prestasi ditunjukkan, segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) masih menjadi pilihan popular majoriti pembeli Toyota di Indonesia. Situasi itu sedikit berbeza berbanding pesaing lain, Honda dan Suzuki.
Segmen MPV menyumbang 57.6 peratus daripada keseluruhan jualan Toyota sepanjang 2020 dengann model Avanza dan Veloz terjual 40,728 unit. Menariknya, model paling laris di Indonesia sepanjang tahun lalu dirampas Honda Brio yang sebelum itu dikuasai Avanza.
Selain MPV, model kenderaan utiliti sukan (SUV) turut menyumbang angka jualan tinggi kepada Toyota, iaitu 26.8 peratus daripada keseluruhan jualan yang dicapai pengeluar dari Jepun itu. Model SUV Toyota paling laris menjadi milik Rush dengan jualan 34,528 unit. Jualan kenderaan elektrifikasi turut meningkat membabitkan 10 model Toyota, sama ada hibrid, hibrid plug-in (PHEV) dan elektrik penuh (EV).
BACA >>> Honda Brio Cipta Sejarah, Jadi Model Paling Laris di Indonesia Sepanjang 2020
BACA >>> Indonesia Lancar Toyota Calya (2019) Facelift, Harga Naik ~Rp1.4j (RM416)
Leave a Reply