LELAKI bermasalah mental dari Besut, Terengganu yang tular dengan kisahnya membina 11 bonggol menggunakan wang i-Sinar dalam simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditawarkan khidmat bantuan psikososial daripada Unit Khidmat Psikologi dan Kaunseling (UKPK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Perkara tersebut dimaklumkan pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia UKM, Dr Nazirah Hassan selepas menghubungi Nor Muhamad Roslam Harun, 40, yang kini tinggal di Kampung Padang Luas, Jertih itu.
BACA >>> #Videotomotif: Jumpa Bonggol Raksasa? Range Rover Evoque Cakap 'No Problem'
BACA >>> Lelaki Sakit Mental Mohon Maaf, Beritahu Bina 11 Bonggol Guna Duit i-Sinar
Menurutnya, berdasarkan hasil perbualannya, Nor Muhamad Roslam mengaku mungkin mengalami masalah kesihatan mental, tetapi tidak tahu bagaimana dan di mana untuk mendapatkan bantuan.
Dia juga bersetuju menerima khidmat UKPK dan akan menjalani beberapa sesi rawatan secara atas talian bermula minggu depan. Sebelum itu, status psikologi Nor Muhamad Roslam perlu ditentukan dahulu.
Dr Nazirah berkata;
Penilaian secara menyeluruh untuk menentukan tahap kesihatan mental dan aspek persekitaran sosial yang mungkin mempengaruhi tingkah lakunya dan kami juga akan lihat sekiranya ada tekanan dari sekeliling, termasuk unsur buli yang mungkin berlaku.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak cepat menghukum tindakan Nor Muhamad Roslam berikutan kemungkinan masalah kesihatan mental dialaminya sedangkan mereka yang mengalami masalah sedemikian memerlukan sokongan dan perhatian daripada orang sekeliling."
Kes Nor Muhamad Roslam menjadi tular di media sosial selepas seorang jiran memuat naik foto 11 bonggol yang dibinanya menggunakan tar di jalan tepi rumahnya.
Tindakan pelik itu dibuat kerana tidak tahan dengan sikap segelintir pengguna jalan itu yang memandu laju hingga menyebabkan dia sukar tidur . Bagaimanapun, semua bonggol itu diratakan semual selepas dinasihatkan polis. Dia turut mengaku menggunakan wang i-Sinar sebanyak RM1,080 untuk membina bonggol-bonggol tersebut.
SUMBER: Bernama
Leave a Reply