POLIS mengesan trik terbaru geng tarik kereta di Kuala Lumpur yang bergiat aktif mencuri barang dalam kenderaan mangsa terlibat kemalangan.
Hasil maklumat dan risikan polis, empat individu termasuk dua wanita ditahan di stesen minyak di Shah Alam semalam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan.
Mangsa, lelaki berusia 35 tahun mendakwa didekati dua lelaki dan dua wanita yang menawarkan khidmat trak tunda selepas kereta Peugeot dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Syed Putra pada jam 12.30 tengah malam, 19 Disember lalu.
Namun, ketika mangsa berunding dengan seorang suspek, tiga yang lain didapati berada dalam keadaan mencurigakan berdekatan keretanya.
Mangsa mendapati salah seorang suspek wanita masuk ke dalam kereta dan keluar semula lima minit kemudian. Selepas suspek beredar kerana mangsa tidak jadi menggunakan khidmat kereta tunda, barulah dia menyedari beberapa barang miliknya dalam kereta sudah hilang yang dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000.
Menurut polis, dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah pecah amanah, manakala seorang suspek wanita memiliki beberapa rekod jenayah berkaitan dadah dan curi. Semua suspek direman tiga hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
BACA >>> #TahukahAnda: Kereta Tak Terlibat Kemalangan Pun Boleh Dapat Servis Tunda Percuma
* Gambar sekadar hiasan
SUMBER: BeritaHarian
Leave a Reply