TAHUN 2020 menjadi setahun yang sukar buat pelbagai kegiatan sukan dunia, tidak terkecuali sukan permotoran. Formula Satu (F1) antara terjejas berikutan pembatalan beberapa siri perlumbaan dalam usaha mengelak penularan wabak Covid-19.
Perlumbaan awal musim sepatutnya berlangsung di Australia, tetapi dibatalkan. Malah, ada pasukan yang sudah berkira-kira mahu menarik diri daripada menyertai F1 2020.
Akhirnya, saingan F1 2020 pun dilangsungkan dengan pusingan pertama bermula di GP Austria tanpa melibatkan kehadiran penonton. Siri perlumbaan 17 lokasi itu menyaksi penguasaan jentera Mercedes-AMG Petronas sejak awal lagi. Pasukan itu cuma gagal menang di satu dua pusingan perlumbaan sahaja.
Penutup perlumbaan di GP Abu Dhabi dimenangi pelumba Red Bull Racing-Honda, Max Verstappen yang juga kemenangan kedua buatnya tahun ini, sekali gus memadam rekod dominasi kemenangan Mercedes-AMG Petronas di litar tersebut.
Perlumbaan penutup di GP Abu Dhabi juga tidak banyak berlaku aksi menarik. Selepas dua siri perlumbaan hebat di GP Bahrain, kereta keselamatan maya hanya diaktifkan sekali ketika memindahkan jentera Sergio Perez yang terkeluar dari litar akibat kerosakan transmisi.
Tiada masalah dihadapi William-Mercedes ketika melakukan pit berganda dan ini mungkin sedikit menyakitkan hati pelumbanya, George Russell. Verstappen juga mendahului perlumbaan hingga akhir pusingan ke-55 dan memenangi perlumbaan itu.
Pasukan McLaren menduduki carta ketiga kategori pengeluar selepas kedua-dua pelumba menduduki tempat kelima dan keenam dengan mengatasi pasukan Racing Point. Daniel Ricciardo pula mencatatkan masa sepusingan terpantas untuk menidakkan kemenangan mutlak Verstappen di litar itu.
BACA >>> Kemalangan F1 di GP Bahrain Buktikan Peranti Halo Berguna Selamatkan Nyawa Pelumba
LEGENDA BAHARU F1
Lewis Hamilton menyamai rekod kejuaraan dunia tujuh kali dicapai legenda F1, Micheal Schumacher dengan meraih 11 kemenangan musim ini.
Walaupun pelbagai cabaran dilalui, tetapi kekuatan karakter pelumba British itu nyata terserlah sepanjang musim ini. Hamilton satu-satunya pelumba yang membuat kenyataan mengenai tiada keperluan meneruskan F1. Beliau juga bertegas dengan sokongan ke atas gerakan anti-perkauman yang kini menjadi isu hangat di Barat. Semua itu langsung tidak menjejaskan kehebatan pemandu berkenaan.
Pasukan Hamilton nyata komited untuk membantu dan menyesuaikan segala kelengkapan jenteranya dalam usaha memenangi kejuaraan ketujuh musim ini.
Ada beberapa pusingan agak bermasalah, tetapi Hamilton masih berjaya memenangi perlumbaan. Misalnya kemenangan di GP Turki apabila dia berdepan masalah mengawal jentera ketika hujan. Penggunaan strategi satu hentian pit dan keyakinan terhadap ketahanan jentera hingga detik akhir mengesahkan kejuaraan menjadi miliki pelumba berkenaan.
Hamilton turut menghadapi dua minggu penuh sukar apabila diuji positif Covid-19 yang cukup menguji daya tahan mental apabila berada di tempat ketiga pada perlumbaan penutup musim ini. Dia juga mendapat pengiktirafan di Litar Silverstone apabila namanya diabadikan pada laluan lurus pit, dikenali sebagai 'Hamilton Straight'.
CABARAN PASUKAN LAIN
Berdasarkan jumlah mata keseluruhan bagi kategori Pengeluar, ada jurang sangat besar antara pasukan Hamilton, Mercedes-AMG Petronas dan pasukan lain.
Pasukan Red Bull yang menjadi pasukan kedua terbaik, hanya memenangi dua perlumbaan musim ini. Jarak 254 mata antara kedudukan pertama dan kedua membuktikan dominasi paskan Mercedes-AMG Petronas tahun ini. Kemajuan teknologi enjin dan sistem jentera F1 perlu di naik taraf pasukan lain untuk memberikan saingan berterusan.
Apa lebih menyedihkan adalah kemerosotan Ferrari yang seakan gagal memanfaatkan kelebihan dua pelumba bertaraf dunia dimiliki pasukan itu, iaitu juara dunia Sebastian Vettel dan Charles Leclerc. Pasukan itu berada di kedudukan keenam di belakang pasukan Renault dan gagal memenangi podium pertama sepanjang musim ini.
BACA >>> Regulasi Formula Satu (F1): Apakah yang Baharu untuk Musim 2020?
PEMANDU BAHARU DAN LAMA
Juara Formula Dua (F2) 2020, Mick Schumacher (foto atas kanan) bakal menyertai perlumbaan musim depan, mewakili pasukan Haas yang akan menggunakan enjin Ferrari. Kemunculan semula bekas juara dunia, Fernando Alonso yang akan memandu jentera Renault untuk pasukan Alpine pasti mengimbau sejarah peminat pasukannya musim depan.
Tiada lagi kepastian buat pemandu Sergio Perez (foto atas kiri) mengenai kedudukannya musim depan. Adakah ada khabar gembira atau dia akan berehat sementara untuk musim akan datang? Penamatnya agak menyedihkan selepas tidak dapat meneruskan perlumbaan akibat kegagalan jentera di GP Abu Dhabi. Sebastian Vettel pula mengucapkan selamat tinggal buat pasukan Ferrari kerana bakal memandu bersama Aston Martin musim depan.
Buat masa ini, tiada perubahan barisan pelumba Mercedes-AMG Petronas. Jadi, segala kemungkinan bakal terjadi. Adakah ada juara dunia baru atau muncul legenda F1 lapan kali?
BACA >>> Anak Schumacher Masuk F1 Musim Depan
Leave a Reply