MALAYSIA ialah negara beriklim tropika dan tidak mengalami empat musim berbeza seperti negara Eropah. Jadi jenis tayar digunakan negara kita lebih bersifat umum atau semua musim, komersil dan boleh digunakan bila-bila masa dan di mana saja.
Namun di negara Barat seperti Eropah, termasuk Asia seperti Jepun dan Korea, kereta di sana perlu dipasangkan tayar musim sejuk (winter tyre) apabila tiba musim sejuk (atau salji) atas faktor keselamatan. Ini bagi mengelakkan berlaku insiden buruk yang boleh mengancam nyawa pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain.
APAKAH BEZA TAYAR MUSIM SEJUK DAN PANAS?
Tayar musim sejuk tidak mengeras pada suhu lebih rendah yang mencapai negatif darjah Celsius. Tayar jenis ini memberikan cengkaman dan keupayaan membrek lebih baik dalam jarak pendek.
Ini kerana kompaun tayar musim sejuk mengandungi lebih banyak material getah asli dan silika termaju untuk mengurangkan proses pengerasan seperti dialami tayar standard pada suhu sejuk. Perbezaan kompaun inilah yang membuatkan tayar musim sejuk lebih selamat dalam semua kondisi suhu di bawah -7ºC.
BACA >>> #ApaNakBuat: 3 Cara Tukar Tayar Mengikut Peralatan Dalam But
Tayar musim sejuk ada banyak alur sipes untuk mengelak salji terkumpul.
Ia juga mempunyai bunga khas dipanggil 'sipes' (sebut: Saeyp), iaitu slot atau alur kecil yang dipotong atau diacuankan pada permukaan bunga tayar. Ini direka untuk 'mengaut' salji dan membantu tayar melekap atas permukaan salji.
Berbeza tayar musim panas dengan bunga tayar lebih besar dan kurang sipes, alur kecil itu bertujuan meningkatkan jumlah getah yang bersentuhan atas permukaan jalan. Hasilnya, pengendalian jadi lebih baik, sistem brek lebih stabil dan jarak brek lebih pendek.
Perbezaan lain adalah kedalaman bunga tayar. Tayar musim panas mempunyai kedalaman bunga kurang dalam berbanding tayar musim sejuk. Ini kerana tayar itu tidak memerlukan cengkaman tinggi seperti tayar musim sejuk yang perlu melalui permukaan jalan bersalji.
Tayar musim panas juga jauh lebih stabil pada kelajuan tinggi. Ini kerana tayar musim panas mampu mengekalkan struktur bentuk dengan lebih baik dan dapat bergerak pada halaju lebih tinggi berbanding tayar musim sejuk.
Apa lagi fakjta mengenai tayar musim sejuk yang perlu kita tahu?
BACA >>> #TahukahAnda: Ketahui Perbezaan 4 Jenis Tayar Haus
1. Ekstra Cengkaman Atas Permukaan Salji
Tayar musim sejuk mempunyai kombinasi alur besar untuk menghalang air terkumpul dan alur kecil untuk mengelak salji melekat. Dua gabungan bunga tayar itu memainkan peranan meningkatkan traksi kereta dan mengelak pemandu tergelincir atas jalan licin.
2. Sesuai untuk Pemanduan Semua Musim
Di negara empat musim, pemandu di sana kerap menyebut tayar musim sejuk sebagai tayar salji (snow tyre). Ia kerana tayar tersebut sangat efektif dipakai ketika musim sejuk bersalji. Namun, tayar itu juga boleh digunakan selain musim sejuk kerana masih mampu memberikan tahap pengendalian yang baik ketika memandu dalam cuaca bawah 50ºC.
3. Lebih Baik daripada Tayar Semua Musim
Atas permukaan jalan biasa, tayar semua musim (all-season) menjadi pilihan kerana mampu berfungsi baik sepanjang tahun. Bagaimanapun, tidak seperti namanya, tayar ini tidak memberikan prestasi yang cemerlang dalam pemanduan bawah suhu sangat sejuk. Jadi masih perlu tukar kepada tayar musim sejuk untuk prestasi lebih baik.
4. Harga Berpatutan dan Tahan Lama
Harga tayar di negara kita cuma dibezakan mengikut saiz, jenama dan kualiti. Namun pemandu di Barat menganggap tayar musim sejuk sebagai lebih mahal daripada tayar biasa dan tidak berbaloi dibeli kerana tidak dapat dipakai sepanjang tahun.
Sebenarnya tayar musim sejuk tidaklah semahal disangka walaupun cuma betul-betul digunakan pada musim sejuk saja. Malah tayar jenis itu mampu bertahan beberapa tahun sebelum perlu ditukar baharu. Membeli tayar musim sejuk juga masih lebih murah jika dibandingkan harga untuk tayar kenderaan pacuan semua roda (AWD).
Apapun memang bertuah duduk di Malaysia kerana tidak perlu kerap menukar tayar mengikut cuaca dan musim.
BACA >>> Ford Cipta Tayar Boleh Tinggalkan Mesej Kecemasan Atas Pasir!
SUMBER: TheNewsWheel
Leave a Reply