KEIRIN ialah perlumbaan basikal yang agak pelik kerana ada basikal khas mengetuai pelumba basikal lain di belakangnya. Basikal khas dan aneh itu dikenali sebagai 'derny' yang mempunyai enjin kecil termasuk pedal dan rantai.
Selain 'derny' sebagai tunggangan pendahulu keirin, motosikal juga digunakan, termasuk basikal elektrik dan basikal tandem (kembar).
BACA >>> Azizulhasni Tayang Basikal RM300k untuk Misi Buru Emas Olimpik Tokyo
Pelumba basikal keirin akan mengejar penunggang derny dan saling berasak-asak untuk mencari posisi terbaik sebelum memecut sebaik saja derny membuka ruang ke tepi. Pada permulaan perlumbaan, derny ditunggang pada kelajuan sekitar 25kmj dan perlahan-lahan meningkat kepada 50kmj. Pelumba basikal keirin biasanya keluar trek kira-kira 600-700 meter sebelum penamat, di mana purata kelajuan mampu mencecah 70kmj.
Kejohanan basikal keirin kerap berlangsung dalam beberapa pusingan dengan satu final bagi menentukan juara. Kadangkala, pelumba yang tidak layak mendapat peluang kedua menerusi pusingan repecaj (repechages) seperti dilalui pelumba Olimpik negara, Azizulhasni Awang sebelum mara ke pusingan final.
Sebenarnya, repecaj bukan hanya digunakan dalam perlumbaan basikal keirin sahaja, tetap juga sukan lain seperti bela diri, bola lisut, bola tampar, ragbi, dan lawan pedang.
BACA >>> #TahukahAnda: Basikal Lebih Laju daripada Kereta di Tokyo
BASIKAL KEIRIN
Basikal keirin adalah tentang kelajuan dan kuasa, serta direka untuk bekerja sebagai unit tunggal dengan pelumba. Selain itu, basikal digunakan juga adalah buatan kustom, di mana setiap bahagian direka berdasarkan karakteristik unik seseorang pelumba itu. Ada 5 kriteria utama basikal keirin, iaitu:
1. Tiada Brek
Basikal keirin direka sepenuhnya untuk kelajuan. Justeru tiada alat atau mekanisme diperlukan untuk mengurangkan kelajuan. Pelumba melaraskan kelajuan menerusi henjutan pedal semata-mata.
2. Frem
Frem basikal keirin dibuat daripada keluli yang menggabungkan kelembutan dan kekuatan (keluli krom-moli). Setiap frem dihasilkan secara buatan tangan oleh pembuat frem custom. Ini menjadikan setiap basikal keirin ialah khas buat seorang pelumba sahaja dan tidak sama dengan pelumba lain.
3. Gear Belakang
Tidak seperti basikal jalanan, gear belakang keirin ialah tetap dan bersambung terus dengan roda, serta mustahil bagi seseorang pelumba itu mengayuh ke belakang atau menghentikan kayuhan.
4. Pilihan Nisbah Gear
Semakin kecil nisbah gear, semakin mudah sesebuah basikal dikayuh. Nisbah gear kecil membolehkan pelumba mencapai kelajuan maksimum dengan cepat, tetapi memerlukan kayuhan yang pantas untuk mengekalkan kelajuan tertinggi.
Nisbah gear besar pula lebih sukar dikayuh yang memerlukan lebih masa untuk mencapai kelajuan tertinggi, tetapi membolehkan pelumba mengekalkan kelajuan dengan kayuhan perlahan.
* Nisbah gear bersamaan jumlah gigi dalam gear yang bersambung dengan pedal basikal, dan dibahagikan dengan jumlah gigi gear belakang.
Nisbah gear tipikal basikal jalanan 1-kelajuan (1-speed) adalah kira-kira dua. Sesetengah pelumba keirin menggunakan nisbah gear 4. Menunggang basikal dengan nisbah gear sebegini tidak ubah seperti mendaki cerun curam menggunakan gear tinggi basikal 3-kelajuan. Bagi orang biasa, ia sesuatu yang hampir mustahil dilakukan.
5. Tayar
Tayar basikal keirin mempunyai diameter luar 675mm dan ketipisan 22mm. Ia sengaja direka begitu untuk mendapatkan kelajuan maksimum dengan meminimumkan kawasan permukaan yang bersentuhan dengan trek, sekali gus mengurangkan geseran. Isian tekanan atmosfera 9.5 atm adalah tinggi berbanding 2 atm yang digunakan pada tipikal basikal jalanan.
BACA >>> Ducati MG-20 - Basikal Lipat Elektrik dengan 3 Mod Kuasa, Harga RM9.2k!
SUMBER: KeirinGuide
Mat says
Kenapa basikal track rim belakang perlu kosong macamtu? kalau rim belakang macam rim yg dihadapan tu xbolehke