BARU-baru ini negara dikejutkan dengan insiden menimpa pemain kebangsaan yang juga penyerang JDT, Syafiq Ahmad yang terbabit kemalangan di Kilometer 163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap ketika dalam perjalanan pulang ke kampung keluarganya di Pendang, Kedah.
Kemalangan tersebut menyebabkan isteri Syafiq, Nur Amalina parah, dan meragut nyawa bayi lelakinya yang baru berusia 22 hari, ibu mertua, Zainab Wahab, 45, dan pembantu rumah, Titik Sukamti, 30-an.
Walaupun mendakwa kemalangan berlaku kerana cuba mengelak sesuatu, tetapi berdasarkan siasatan polis, Syafiq sebenarnya terlelap sejenak atau mengalami gejalan microsleep ketika memandu. Ini menyebabkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
BACA >>> Ular Sawa 2.5 Meter Lentok Tidur dalam Trak Pikap
MICROSLEEP KETIKA MEMANDU
Sebenarnya, ini bukan kes kemalangan pertama membabitkan pemandu terlelap ketika memandu. Setiap tahun sentiasa ada kes seumpama itu. Namun, ramai pemandu masih memandang remeh gejala berkenaan kerana mungkin tidak pernah mengalaminya. Malah, sesetengah pemandu mendakwa mampu mengawal diri daripada mengantuk.
Benarkah microsleep dapat dikawal? Apakah itu microsleep?
Apakah Microsleep?
Microsleep ialah gejala yang membuatkan seseorang terlelap sejenak dalam 1-10 saat tanpa sedar. Ini berbeza daripada situasi mengantuk biasa kerana microsleep mampu menyebabkan anda terlena tiba-tiba tanpa dapat dikawal. Malah, ia boleh berlaku ketika sedang melakukan tugasan penting seperti memandu, menunggang, berehat atau bekerja.
Gejala berkenaan juga berlaku tanpa mengira tempat dan masa seperti di pejabat, sekolah, atau rumah ketika sedang menonton TV atau melakukan kerja tertentu seperti membaca, menjahit, menggunakan mesin, bermain komputer, atau memandu.
Kajian mendapati seseorang itu boleh mengalami microsleep hanya dengan tidak cukup tidur untuk satu malam saja.
Apakah Punca Microsleep?
Punca microsleep mungkin disebabkan berikut:
- Gangguan tidur seperti insomnia atau berhenti bernafas ketika tidur (obstructive sleep apnea).
- Tidak cukup tidur malam.
- Narkolepsi, iaitu gangguan sistem saraf hingga menyebabkan mengantuk berlebihan pada siang atau tertidur mengejut tanpa mengenal masa dan tempat.
- Tidur kurang 8-9 jam.
- Terlalu penat atau letih.
- Badan cuba melawan rasa mengantuk
- Bosan kerana melakukan sesuatu kerja atau tugasan sama dalam jangka masa lama.
Sebagai contoh, penyelidik Pusat Kebangsaan untuk Maklumat Bioteknologi (NCBI) pernah melakukan kajian ke atas beberapa peserta cukup rehat. Mereka diminta menggunakan kayu bidik untuk menjejak sasaran bergerak pada skrin komputer selama 50 minit.
Dalam eksperimen itu, secara purata responden mengalami 79 kali gejala microsleep hingga 6 saat. Ya, bosan memang boleh buat terlelap.
Gejala Ketika Memandu
Jika berlaku tanda-tanda tersebut, anda perlu segera berhenti berehat:
- Kereta dipandu terhuyung-hayang keluar dari lorong asal
- Kerap menguap
- Terlepas lorong yang hendak dimasuki
- Kelopak mata berat
- Tersengguk
- Lupa perkara sedang dibuat
Cara Mencegah
Ada beberapa tip lain yang boleh dilakukan sekiranya menyedari diri mengantuk ketika memandu, atau jika merancang melakukan perjalanan jauh atau lama.
- Jika memandu bersama orang lain, minta dia pula memandu.
- Pastikan cukup rehat (sekurang-kurangnya 8 jam) sebelum memulakan perjalanan jauh.
- Berhenti setiap dua jam memandu walaupun tidak rasa mengantuk. Boleh minum, buat senaman ringan, atau tidur saja.
- Dengar muzik keras jika memandu berseorangan.
- Ajak penumpang dalam kereta bersembang.
- Gerakkan anggota badan atau buat senaman ringan.
- Ambil vitamin, kafein atau minuman tenaga supaya dapat bertahan daripada mengantuk.
PERINGATAN: Sebenarnya tiada cara lain paling berkesan melainkan anda perlu berhenti segera untuk melelapkan mata. Tempoh 20-30 minit sudah cukup untuk mengembalikan kembali segar dan menghilangkan rasa mengantuk.
BACA >>> PLUS Bakal Perkenal Kapsul Tidur di R&R, Tahun Depan
SUMBER: USnews.com | BetterSleep
Leave a Reply